BERITA TERKINI   Institusi wakaf dan dakwah perlu kuasai teknologi digital dan AI untuk kekal relevan - PM Anwar | Oriental Interest Bhd cadang ambil alih seluruh kepentingan ekuiti dalam Chin Hin (Jitra) Sdn Bhd, CHJ Motor Holdings Sdn Bhd pada harga RM280 juta | Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 | SNS Network (M) Sdn Bhd peroleh kontrak bernilai RM1.21 bilion untuk bekal pelayan AI berprestasi tinggi kepada syarikat hiburan digital global berpangkalan di Singapura | Kerajaan tidak akan bertoleransi terhadap pelarian yang mengancam keselamatan dan menimbulkan keresahan penduduk tempatan - PM Anwar | 

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-Campur Susulan Pasaran Niaga Hadapan Serantau Lebih Lemah

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Isnin, menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau yang lebih lemah, menurut seorang peniaga.

Beliau berkata penurunan harga minyak mentah turut menjejaskan sentimen pasaran.

Ad Banner

"Harga minyak mentah merosot lebih enam peratus susulan ketegangan yang kian mereda di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran sekali gus mengurangkan premium risiko geopolitik," katanya kepada Bernama.

Sewaktu berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent susut 7.95 peratus kepada US$89.09 setong.

Menurut peniaga berkenaan, data ekonomi China yang lebih lemah serta prospek pertumbuhan ekonomi negara itu yang suram bagi separuh kedua 2026 turut menyumbang kepada kelemahan prestasi pasaran.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Pertumbuhan keuntungan sektor perindustrian China dilaporkan perlahan kepada 15.1 peratus pada Jun sekali gus memberi isyarat kepada momentum pembuatan yang lebih lemah.

"Sebaliknya, prospek ekonomi China bagi separuh kedua 2026 dilihat semakin lemah susulan permintaan domestik yang perlahan, pertumbuhan kredit yang lemah, kemerosotan sektor hartanah serta eksport yang semakin menyederhana," katanya.

Bagaimanapun, peniaga itu berkata penurunan selanjutnya berjaya dikekang oleh data ekonomi AS yang positif serta ketegangan geopolitik yang semakin mereda di Asia Barat sekali gus meningkatkan harapan untuk proses penurunan ketegangan yang berterusan.

"Aktiviti perniagaan AS mengukuh pada Julai dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor perkhidmatan melonjak kepada 53.6 daripada 51.2 pada Jun manakala PMI komposit mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan pada 53.6, sekali gus menyokong prospek ekonomi yang berdaya tahan.

"Sementara itu, penggantungan sementara serangan di antara AS dengan Iran meredakan ketegangan geopolitik serta kebimbangan mengenai gangguan bekalan tenaga sekali gus menjejaskan harga minyak mentah," kata peniaga tersebut.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 4.50 sen kepada 896.50 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 5.50 sen kepada 712.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA