BERITA TERKINI   PRN NS: Sebanyak 86.40 peratus pengundi selesai undi awal setakat 2 petang - SPR | Untung bersih Nestlé Malaysia melonjak 38.3 peratus kepada RM155.02 juta bagi suku kedua manakala perolehan naik 8.7 peratus kepada RM1.81 bilion | PRN NS: Undi awal rekod 80.79 peratus setakat 1 tengah hari - SPR | Sindiket penipuan dalam talian beroperasi di Forest City tumpas, 355 individu termasuk 309 warga China ditahan dengan rampasan RM1 juta - Polis | PRN NS: Undi awal rekod 68.85 peratus setakat 12 tengah hari - SPR | 

Pertumbuhan Malaysia Pada 2026 Dijangka Pada Julat Atas Empat hingga Lima Peratus - Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Malaysia masih berada pada landasan yang tepat untuk mencatatkan pertumbuhan antara empat hingga lima peratus pada 2026 dengan inflasi yang kekal terurus meskipun terdapat kejutan bekalan tenaga, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata asas ekonomi Malaysia, agenda pembaharuan serta komitmen terhadap pengurusan ekonomi yang kukuh telah membolehkan kerajaan bertindak balas dengan berkesan apabila berlaku kejutan.

“Sebagai bank pusat negara, BNM telah memainkan peranannya dengan mengekalkan kestabilan makroekonomi yang membolehkan pembaharuan dilaksanakan.

Ad Banner

“Inflasi yang rendah dan stabil, sistem kewangan yang kukuh serta pasaran kewangan yang teratur telah membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi transformasi ekonomi negara,” katanya dalam ucaptama sempena majlis pembukaan Simposium Sasana 2026 yang berlangsung selama dua hari di sini hari ini.

Abdul Rasheed berkata, pada tahun lepas, ekonomi negara berkembang sebanyak 5.2 peratus, inflasi kekal terkawal dan ringgit menjadi mata wang yang menunjukkan prestasi terbaik di rantau ini. 

Mengenai kedudukan fiskal Malaysia, beliau berkata defisit fiskal telah berkurang kepada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 berbanding 6.2 peratus daripada KDNK pada 2020.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pengurangan defisit ini telah membantu membina semula ruang dasar ketika tuntutan terhadap sumber awam terus meningkat,” katanya.

Tatkala Malaysia melangkah ke fasa pembangunan yang seterusnya, sistem kewangan juga perlu berkembang seiring dengan perubahan tersebut, menjadi sistem yang berpandukan nilai-nilai, mewujudkan impak yang bermakna dan bertindak dengan penuh tanggungjawab, katanya.

Menurutnya Pelan Sektor Kewangan 2027-2030 BNM yang akan datang akan berpandukan tiga aspirasi utama iaitu kewangan untuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, kewangan untuk masyarakat yang lebih makmur dan memperteguh sistem kewangan Malaysia untuk masa hadapan.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata  pertumbuhan pada masa hadapan perlu lestari daripada setiap segi.

“Malaysia merupakan satu daripada 17 negara di dunia yang paling kaya dengan biodiversiti. Kekayaan semula jadi ini sama berharga dengan kekayaan ekonomi negara,” katanya.

Mengenai pembaharuan fiskal, beliau berkata, fiskal yang mampan merupakan teras kepada hampir semua keutamaan negara.

“Pendidikan yang lebih baik, penjagaan kesihatan yang lebih mantap, infrastruktur moden, daya tahan terhadap perubahan iklim dan perlindungan sosial yang berkesan...semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan keupayaan fiskal,” katanya.

Pada masa hadapan, prospek ekonomi jangka sederhana kekal menggalakkan.

“Pertumbuhan dijangka terus kukuh manakala inflasi kekal terkawal. Kami akan terus melaksanakan langkah yang diperlukan bagi mengekalkan kestabilan harga yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA