Insurans Kaptif Semakin Diiktiraf Sebagai Penyelesaian Pembiayaan Risiko Strategik
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Insurans kaptif semakin mendapat pengiktirafan sebagai penyelesaian pembiayaan risiko yang strategik berikutan perniagaan berusaha memperkukuh daya tahan, meningkatkan kawalan terhadap pembiayaan risiko serta menangani risiko baharu, menurut Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd (Labuan IBFC).
Pada Persidangan Insurans Kaptif Asia (ACC) 2026 kelapan yang diadakan semalam, lebih 300 profesional dalam bidang risiko dan industri dari rantau ini serta luar negara membincangkan bagaimana insurans kaptif dapat membantu perniagaan memperkemas strategi pengurusan risiko dalam persekitaran operasi yang tidak menentu dan kompleks.
Persidangan itu yang dianjurkan bersama oleh Labuan IBFC Inc dan Persatuan Insurans Antarabangsa Labuan (LIIA) menghimpunkan pengawal selia, syarikat multinasional serta wakil ekosistem insurans kaptif, sekali gus menunjukkan pengiktirafan yang semakin tinggi terhadap insurans kaptif sebagai penyelesaian pembiayaan risiko strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC Ben Quah berkata insurans kaptif bukan lagi sekadar kaedah alternatif untuk membiayai risiko yang boleh dijangka atau sukar mendapatkan perlindungan insurans.
"Ia menjadi instrumen strategik yang membolehkan organisasi memahami risiko mereka dengan lebih mendalam, bertindak balas dengan lebih fleksibel serta mengekalkan kawalan yang lebih besar terhadap kaedah risiko itu dibiayai," katanya dalam kenyataan.
Menurut Labuan IBFC Inc, persidangan itu turut menyaksikan pelancaran “LIIA Women in Captive Insurance,” rangkaian industri khusus pertama di Asia untuk wanita dalam sektor insurans kaptif untuk memperkasakan bakat wanita menerusi bimbingan, pembangunan kepimpinan dan pertukaran ilmu merentas sempadan.
Sesi panel utama bertajuk "Unlocking Captive Potential: Regulatory Perspectives from Asia and Emerging Markets," yang membawakan pengawal selia daripada Labuan IBFC, Hong Kong dan Singapura, menekankan kepentingan penglibatan serantau yang lebih erat serta penyelarasan berterusan antara pengawal selia dan pihak berkepentingan industri bagi menyokong pertumbuhan mampan pasaran insurans kaptif di seluruh Asia.
ACC 2026 turut membawakan sesi dialog industri bersama pakar daripada Labuan IBFC, China dan Hong Kong yang menekankan bahawa struktur insurans kaptif semakin penting kepada syarikat China yang mengembangkan operasi ke peringkat antarabangsa.
Struktur itu penting terutama kepada syarikat berkenaan berikutan membolehkan mereka mempunyai kawalan dan kepelbagaian yang lebih besar dalam mengurus risiko rentas sempadan serta risiko baharu.
Program pada sesi petang membincangkan mengenai perkembangan takaful kaptif, struktur kaptif untuk menguruskan manfaat pekerja serta teknologi baharu, yang mengetengahkan peluang baharu bagi organisasi meningkatkan pengurusan risiko, kecekapan dan menyesuaikan strategi pembiayaan risiko mereka melangkaui aplikasi tradisional harta dan liabiliti.
"Persidangan itu diakhiri dengan panel eksekutif yang membincangkan bagaimana insurans kaptif dan insurans parametrik saling melengkapi program tradisional bagi menangani risiko berkaitan iklim, peralihan tenaga serta risiko baharu lain.
“Langkah ini sekali gus menawarkan fleksibiliti dan daya tahan yang lebih tinggi dalam pembiayaan risiko," menurutnya.
Menurut Labuan IBFC Inc, ACC 2026 menekankan kepentingan dialog berterusan antara pengawal selia, kerjasama industri dan inovasi untuk memperkukuh ekosistem insurans kaptif Asia.
Menurutnya insurans kaptif semakin dikenali sebagai instrumen strategik bagi organisasi yang berdepan risiko yang semakin saling berkaitan dan sukar dijangka sekali gus membantu mereka membina daya tahan serta membangunkan strategi pembiayaan risiko yang lebih responsif dan mampan.
-- BERNAMA