BERITA TERKINI   Liga Super: Negeri Sembilan 2-2 Star City | Pendidikan pelaburan adalah kritikal dalam membantu rakyat Malaysia mengelakkan menjadi mangsa penipuan pelaburan - Tan Sri Johan Mahmood Merican | Malaysia akan terus mempunyai ekonomi kukuh dengan asas yang teguh, sekali gus menyediakan landasan bagi peluang pelaburan merentas pasaran modal - Tan Sri Johan Mahmood Merican. | 
Ad Banner

Kerajaan Pertimbang Rangka Kerja Keselamatan Ekonomi Bagi Perkukuh Daya Tahan Hadapi Krisis - Nurhisham

KUALA LIMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan rangka kerja keselamatan ekonomi bagi memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi krisis pada masa depan, kata Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Nurhisham Hussein.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu belum dibentangkan kepada Kabinet berikutan ia merupakan sebahagian daripada agenda pembaharuan dalaman kerajaan yang lebih luas.

“Krisis terkini telah meningkatkan kesedaran terhadap beberapa kelemahan utama kita. Oleh itu, kita sedang melihat langkah untuk menanganinya dengan mewujudkan rangka kerja keselamatan ekonomi.

Ad Banner

“(Di bawah rangka kerja ini), kita boleh menangani beberapa kelemahan dalam rantaian bekalan yang dilihat semasa krisis (bekalan global) ini dan mewujudkan satu pasukan yang dapat meneliti perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pleno bertajuk ‘Resilience: Implications for Policy and Practice’ pada Sasana Symposium 2026 (SS2026) Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini. 

Bertemakan ‘Reforms for Resilience: Navigating Uncertainties’, SS2026 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini mengetengahkan perbincangan mengenai isu ekonomi dan kewangan utama, termasuk daya tahan ekonomi, upah, cabaran kos sara hidup, pelaburan, keselamatan tenaga, kewangan Islam dan kos penjagaan kesihatan swasta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Nurhisham berkata kerajaan sedang giat mengkaji cara Malaysia untuk terus dapat menarik pelaburan dan mendapat manfaat daripada gangguan global.

Beliau berkata pada masa ini, Malaysia mendapat manfaat yang ketara daripada strategi ‘China Plus One’ sejak dua hingga tiga tahun lepas terutamanya melalui pelaburan pembuatan yang meningkat.

Bagaimanapun, katanya landskap pelaburan global sedang berkembang di luar China, dengan syarikat kini mengguna pakai pendekatan ‘World Plus One’ untuk mempelbagaikan operasi mereka. 

“Ini memberi peluang kepada Malaysia untuk menarik pelaburan bukan sahaja dari China, malah dari Asia Barat dan rantau lain, terutamanya apabila rantaian bekalan global dan laluan perkapalan terus berubah,” katanya.

-- BERNAMA