Untung Bersih Nestlé Malaysia Suku Kedua Naik Kepada RM155.01 Juta, Umum Dividen 80 Sen
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih Nestlé (Malaysia) Bhd bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026 meningkat kepada RM155.01 juta daripada RM112.11 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.
Prestasi itu disokong oleh pertumbuhan perolehan yang menyeluruh, pengurusan kos yang berkesan serta peningkatan kecekapan dalam rantaian nilai.
Perolehan bagi suku tahun yang dinilai menokok sebanyak 8.7 peratus kepada RM1.81 bilion daripada RM1.67 bilion sebelumnya, disokong oleh permintaan domestik yang mampan manakala jualan eksport kekal stabil.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar makanan dan minuman itu menyatakan pelaburan berterusan dalam inovasi dan pembinaan jenama memperkukuh kategori utama seperti kopi, nutrisi serta penawaran gaya hidup aktif di bawah jenama popular termasuk Milo, Maggi, Nescafe dan Kit Kat.
Menurut syarikat itu, usaha-usaha berkenaan bagi memastikan portfolio kumpulan kekal relevan kepada pengguna merangkumi semua segmen demografi.
Nestlé Malaysia menjelaskan peningkatan perolehan itu mencerminkan kekuatan kepelbagaian portfolio kumpulan serta penerimaan berterusan jenama-jenama yang dipercayai merangkumi pelbagai segmen pengguna dan situasi penggunaan.
"Selain mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan, kumpulan akan terus memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuh keupayaan dalaman bagi memastikan pertumbuhan keuntungan yang mampan untuk masa hadapan.
"Ini termasuk melabur dalam bakat dan kemahiran tenaga kerja kami, memacu pendigitalan dan kecemerlangan pembuatan, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan dan eksport halal strategik bagi kumpulan Nestlé serta menyediakan inovasi produk yang relevan secara berterusan," jelasnya.
Menurutnya, pelaburan berkenaan memperkukuh keupayaannya untuk bersaing dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar dan dinamik.
"Kumpulan juga terus memacu program kelestariannya termasuk inisiatif berkaitan kitaran plastik serta pengukuhan ekosistem halalnya. Langkah tersebut membuktikan komitmen Nestlé Malaysia yang menumpukan kepada bidang strategik.
"Melalui skala operasi, jalinan kerjasama serta kehadiran kukuhnya di pasaran tempatan, kumpulan berupaya memberikan sumbangan yang lebih bermakna buat para pengguna, komuniti dan juga negara," jelasnya.
Walaupun berdepan dengan situasi pasaran global yang tidak menentu serta perubahan cita rasa pengguna, kumpulan tetap menaruh keyakinan tinggi untuk menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh bagi sepanjang tahun kewangan 2026.
"Kumpulan juga akan terus melabur dalam pendigitalan, automasi dan inisiatif lain bagi meningkatkan kecekapan operasi, kebolehsuaian serta daya saing jangka panjang," menurutnya.
Lembaga pengarah mengumumkan dividen interim sebanyak 80 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026, berbanding 70 sen sesaham pada 2025.
Dividen berkenaan akan dibayar pada 1 Okt, 2026.
-- BERNAMA