BERITA TERKINI   PRN NS : Semua 38 pusat mengundi awal ditutup tepat 5 petang ini | Dewan Negara lulus RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 | KKDW sasar harga minimum getah RM5 sekilogram menjelang akhir 2027 - Ahmad Zahid | PRN NS: Undi awal rekod 88.97 peratus setakat 3 petang - SPR | Dari 2020 hingga suku pertama 2026, 90 peratus daripada pelaburan yang diluluskan telah dilaksanakan - Tengku Zafrul | 

United Asiapac Energy Lancar IPO Pada Harga Terbitan 35 Sen Sesaham

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan minyak dan gas United Asiapac Energy Bhd melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) pada harga terbitan 35 sen sesaham, dengan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd dijadualkan pada 19 Ogos.

Penyedia penyelesaian intervensi telaga itu melalui prospektusnya yang dilancarkan hari ini memaklumkan, IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 139.22 juta saham biasa baharu, termasuk 27.5 juta saham diperuntukkan kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya sebanyak 10 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu berkelayakan yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat dan anak syarikatnya manakala baki 101.72 juta saham baharu disediakan untuk pelabur terpilih melalui tawaran saham persendirian.

Ad Banner

Syarikat dalam kenyataan hari ini memaklumkan sasaran untuk mengumpul hasil kasar sebanyak RM48.73 juta daripada IPO itu, mewujudkan jangkaan permodalan pasaran kira-kira RM192.5 juta selepas disenaraikan.

"Hasil yang akan dikumpulkan daripada IPO itu akan membolehkan syarikat membiayai pengembangan perniagaan dan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya," katanya.

United Asiapac Energy telah memperuntukkan 47.74 peratus daripada hasil itu untuk membiayai pembelian peralatan dan kelengkapan intervensi telaga, 11.29 peratus bagi pengambilalihan pejabat korporat baharu dan 10.83 peratus untuk mengembangkan tenaga kerja.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya sebanyak 5.83 peratus lagi diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank manakala 4.93 peratus bagi pengambilan jurutera untuk menyokong pengenalan penyelesaian intervensi telaga baharu.

Baki daripada hasil IPO itu akan dimanfaatkan untuk modal kerja dan perbelanjaan berkaitan IPO.

Pengarah Urusannya Ahmad Fadzuli Ali berkata pelancaran prospektus IPO itu menandakan pencapaian penting syarikat dalam persediaan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Kami yakin perancangan selepas IPO mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk terus meningkatkan keupayaan, mengukuhkan kedudukan daya saing dan memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan,” katanya.

Tempoh permohonan dibuka pada 10 pagi hari ini dan ditutup pada 5 petang, 5 Ogos.

TA Securities adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA