KWSP: FBM KLCI Lebih Luas Kurangkan Penumpuan Sektor Perbankan
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Usaha memperluas komponen indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melebihi 30 syarikat konstituen sedia ada dijangka dapat mengurangkan kebergantungan indeks penanda aras itu terhadap sektor perbankan, kata Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Mohamad Hafiz Kassim.
Beliau berkata langkah itu akan memperluas liputan indeks kepada lebih banyak sektor, sekali gus mempelbagaikan komposisi FBM KLCI dan mengurangkan tumpuan terhadap saham perbankan.
"Terdapat beberapa sesi libat urus mengenai cadangan memperluas definisi FBM KLCI melebihi 30 syarikat konstituen dan perkara ini amat dialu-alukan.
"Langkah ini akan menjadikan indeks lebih pelbagai dengan mengurangkan tumpuan kepada sektor perbankan. Justeru, tekanan terhadap bank untuk terus mencatat prestasi kewangan yang kukuh juga akan berkurangan," katanya pada sesi pleno bertajuk 'Ringgit and Financial Market: Perspective on Current Trends' sempena Simposium Sasana 2026 hari ini.
Mohamad Hafiz berkata saham sektor perbankan kini menyumbang kira-kira 40 peratus daripada wajaran FBM KLCI.
Beliau berkata empat saham perbankan, iaitu Maybank, CIMB Group, Public Bank dan AMMB Holdings, kini berada dalam kelompok 10 syarikat konstituen terbesar dalam indeks berkenaan.
Pada April lalu, FTSE Russell mencadangkan semakan terhadap metodologi indeks bagi meningkatkan perwakilan pasaran dan memperkukuh kepelbagaian sektor, sekali gus memastikan FBM KLCI dan FBM70 terus kekal sebagai penanda aras yang relevan serta berkesan bagi pasaran Malaysia.
Antara cadangan utama ialah memperluas bilangan syarikat konstituen FBM KLCI daripada 30 kepada 50, selain memperkenalkan mekanisme pilihan had wajaran maksimum 10 peratus bagi setiap syarikat untuk mengurangkan risiko penumpuan.
Sekiranya diluluskan, perubahan yang dicadangkan terhadap FBM KLCI dan FBM70 dijangka berkuat kuasa sama ada pada 21 Dis, 2026 atau 21 Jun, 2027, tertakluk kepada hasil proses perundingan pasaran.
-- BERNAMA