Kisah Pohon Gelam Dan Ekonomi Malaysia
Oleh M.Saraswathi
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Simposium Sasana tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) yang berakhir hari ini bukan sahaja membawa nada yang berbeza malah juga lebih segar apabila ucapan Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour tidak seperti kelaziman.
Secara tradisi, memulakan ucapan yang sarat dengan istilah ekonomi, carta dan perangkaan -- menjadi unsur utama dalam ucapan dasar namun sering kali sukar difahami oleh kalangan yang berada di luar lingkungan kewangan -- namun, beliau memilih bait-bait ucapan dengan kisah pohon Gelam (Melaleuca cajuputi) yang tumbuh di sepanjang pantai timur Malaysia.
Gelam kelihatan tidak begitu menarik atau menyerlah sebagai pohon namun, keistimewaanya sebagai tumbuhan luar biasa adalah pada keupayaan mengharungi keadaan yang mencabar -- bukan sekadar tanah gambut yang berasid dan air bertakung malah juga bertahan dalam kebakaran hutan, katanya.
Tumbuhan itu tidak menongkah arus alam sebaliknya menyesuai dengan situasi itu serta kerap “menanggalkan” kulit pada batangnya untuk memastikan kekal dalam pembaharuan, kata Abdul Rasheed.
“Pembaharuan struktur juga berperanan sedemikan. Usaha itu membolehkan pembaharuan, ‘membuang’ amalan lapuk dan ketidakcekapan supaya ekonomi kekal berdaya tahan dalam dunia yang sentiasa berubah,” kata gabenor.
Pokok Gelam muncul sebagai “wira yang tidak diduga” di simposium itu bukan sahaja sebagai tumpuan utama rujukan dalam hampir setiap sesi malah juga dicabar oleh “kemasyhuran” yang diperolehnya; mencerminkan cara dasar dan pembaharuan perlu dibentuk -- perlu diuji, diperhalusi dan dipersetujui supaya benar-benar seiring dengan realiti negara.
Sama ada pohon Gelam atau Api-Api (Bakau) disebut sebagai protagonis yang lebih layak kerana keupayaan untuk kekal menyesuai dengan apa-apa jua keadaan justeru, kestabilan kewangan dan monetari kekal menjadi akar tunjang bagi mana-mana ekonomi.
Bekas Timbalan Gabenor BNM dan Bekas Pengerusi OCBC Bank Singapura, Datuk Ooi Sang Kuang berkata tanpa kestabilan monetari dan kestabilan kewangan, ekonomi sebenar tidak dapat berfungsi jika sektor kewangan tidak dapat beroperasi untuk memperuntukkan dan menggerakkan modal dengan cekap.
Beliau berkata kestabilan yang dinikmati hari ini bukan dibina dalam sekelip mata sebaliknya melalui tempoh yang panjang dan perlahan-lahan membina pelbagai asas demi pertumbuhan.
Sektor kewangan menjadi faktor penting dalam ekonomi, mewujudkan daya tahan yang lebih tinggi, terutama selepas Krisis Kewangan Asia, katanya.
“Bagaimana hal itu berlaku? Sudah tentu, dengan banyak panduan daripada BNM, tetapi yang sama pentingnya adalah kesediaan dan penyertaan institusi kewangan untuk bekerjasama dan berusaha bersama-sama,” katanya pada sesi pleno bertajuk “Daya Tahan: Implikasi terhadap Dasar dan Amalan”.
Ujian Tekanan
Semua usaha tersebut terbukti berbaloi.
Apabila krisis lain melanda, daripada krisis kewangan global hinggalah dunia dibelenggu pandemik, sistem kewangan kekal sebagai tonggak kekuatan utama.
Sistem itu terus membiayai isi rumah dan perniagaan, membantu ekonomi menyerap kejutan dan pulih dengan lebih cepat.
Ooi turut berkata ketika itu tinjauan terus dilaksanakan untuk mengenal pasti bukan sahaja peluang pertumbuhan baharu dalam ekonomi dan sektor kewangan, malah juga risikonya.
"Perkara yang juga penting selain mengenal pasti risiko adalah perlu melakukan ujian secara berkala, ujian tekanan.
“Saya berpendapat BNM telah melaksanakan peranan yang hebat dalam mewujudkan rangka kerja penyeliaan yang sangat kukuh merangkumi pengujian lembaran imbangan, menguji andaian yang sukar dan berjaya melepasinya," katanya.
Usaha sedemikian bukan sesuatu yang bersifat sekali sahaja.
Langkah mengenal pasti risiko secara berterusan dan tindakan untuk mengatasinya sama ada melalui dasar atau pembaharuan, merupakan satu kemestian.
Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata kedua-duanya melibatkan tekad politik serta keseimbangan.
“Pembaharuan adalah sukar kerana dilakukan dalam pasaran politik, yang berasingan daripada pasaran modal dan kewangan. Ada kesan yang terpaksa ditanggung untuk pembaharuan, syarikat dan isi rumah terpaksa menanggungnya,” katanya pada sesi pleno bersama-sama dengan Ooi.
Beliau berkata keputusan dasar demi kebaikan jangka panjang, tetap menimbulkan kesan yang menyakitkan bagi pihak yang lain.
“Anda tidak boleh memperoleh segala-galanya tanpa perlu berkorban,” katanya.
Pendidikan yang lebih baik. Penjagaan kesihatan lebih kukuh. Infrastruktur moden. Daya tahan iklim. Perlindungan sosial yang berkesan. Tiada satu pun daripada perkara ini yang dapat dilaksanakan tanpa kapasiti fiskal untuk menyokongnya.
"Ini menuntut keputusan yang sukar namun perlu. Beberapa tahun kebelakangan ini, langkah seperti subsidi diesel bersasar, pembaharuan subsidi yang meluas dan pelarasan cukai terpilih diperkenal secara berperingkat bagi memberikan tempoh kepada isi rumah dan perniagaan untuk menyesuai," kata Abdul Rasheed.
Beliau berkata pada masa ini, negara mempunyai keupayaan untuk terus membina kemajuan itu.
“Pertumbuhan ekonomi kekal stabil dan inflasi berada dalam lingkungan jangkaan. Kita boleh menumpukan agenda jangka masa panjang. Sebagai bank pusat, kami akan terus mengekalkan persekitaran makroekonomi yang stabil dan sistem kewangan berdaya tahan. Ini merupakan pendahulu untuk kemajuan pembaharuan," katanya.
Kembali kepada analogi pokok Gelam, Abdul Rasheed berkata selama beberapa generasi, pembina kapal Melayu menggunakan kulit pokok itu untuk menempuh gelora lautan yang menentu.
Kulit kayu itu dipasang di antara papan-papan kayu kapal, yang bukan sahaja membolehkan keanjalan kapal mengikut daya ombak malah juga struktur kapal tidak terjejas apabila menghadapi tekanan yang kuat.
"Begitulah daya tahan. Bukan menentang perubahan sebaliknya menyesuai dengannya tanpa kehilangan hala tuju kita,” katanya.
Beliau berkata dalam banyak keadaan, kisah pembangunan Malaysia dibina berasaskan prinsip yang sama
“Setiap generasi menghadapi cabaran mereka sendiri. Setiap generasi juga perlu membuat pilihan mengenai tindak balas terhadap dunia yang semakin berubah," katanya.
Pembaharuan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini merupakan sebahagian daripada kisah perjalanan pembangunan Malaysia.
Semua pihak berkepentingan bukan sahaja perlu menjadi sebahagian daripada usaha merangka dasar serta pembaharuan yang diperlukan, malah juga menyesuai dengannya demi menyokong ekonomi serta membina daya tahan yang lebih kukuh.
Tanpa semua itu, walaupun idea yang paling baik sekalipun, akan kekal sekadar gagasan yang masih tidak tercapai.
-- BERNAMA