PUNB Peruntuk RM80 Juta Bantu 220 Usahawan Bumiputera
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperkenalkan serta memperkasa tiga program pembiayaan khusus bernilai RM80 juta bagi membantu 220 usahawan bumiputera memperoleh modal dengan lebih pantas, mengukuhkan aliran tunai serta mengembangkan kapasiti perniagaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, PUNB berkata tiga program berkenaan ialah PROSPER GROW Biz Express, PROSPER GROW Fuel Up dan PROSPER GROW Auto Biz.
Menurutnya, usahawan yang layak boleh menikmati kadar pembiayaan kompetitif bermula serendah 3.5 peratus setahun berdasarkan kadar rata bagi produk terpilih.
"Bagi program PROSPER GROW Biz Express, ia menawarkan laluan pembiayaan dipercepatkan bernilai antara RM100,000 hingga RM300,000 kepada usahawan bumiputera permilikan tunggal, perkongsian atau perkongsian liabiliti terhad dalam sektor peruncitan, perdagangan pengedaran dan pembuatan.
"Penyaluran dana boleh dilaksanakan seawal 12 hari bekerja, tertakluk kepada penyerahan dokumen yang lengkap dan penilaian risiko kredit," katanya.
Sementara itu, PROSPER GROW Fuel Up disasarkan kepada pengusaha stesen minyak bumiputera.
Program itu menawarkan pembiayaan modal kerja sehingga 100 peratus bagi pembelian inventori, sekali gus membantu mereka mengekalkan bekalan yang mencukupi, mengekalkan kelangsungan operasi serta mengurus aliran tunai dengan lebih berkesan.
Jumlah pembiayaan adalah antara RM100,000 hingga RM1 juta bagi tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.
Menurut kenyataan itu, PROSPER GROW Auto Biz pula dikhususkan kepada pusat servis automotif di bawah rakan strategik seperti PETRONAS AutoExpert.
Program itu meliputi pembiayaan aset tetap dan modal pusingan bagi membantu pengusaha menambah peralatan, meningkatkan kapasiti perkhidmatan serta memenuhi permintaan pelanggan.
"Julat pembiayaan bermula RM100,000 hingga RM1 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun. Rakan strategik PUNB turut menawarkan latihan, sokongan pemasaran, program dagangan serta rundingan pembangunan perniagaan," kata PUNB.
PUNB berkata program pembiayaan itu diperkenalkan bagi memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan akses pembiayaan lebih pantas dan fleksibel untuk menangani peningkatan kos operasi, memperoleh inventori, aset serta merebut peluang pertumbuhan dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin berkata program itu mencerminkan peranan PUNB sebagai rakan pembangunan usahawan, bukan sekadar penyedia pembiayaan.
“Matlamat kami adalah untuk membina perniagaan bumiputera yang lebih berdaya tahan, mampu berkembang secara tersusun dan bersedia bersaing dalam rantaian nilai yang lebih luas dalam ekonomi dunia yang tidak menentu.
“Pembiayaan perlu disertai dengan pemahaman terhadap model perniagaan, keperluan sektor dan kapasiti sebenar usahawan supaya pertumbuhan yang dicapai dapat dikekalkan,” katanya.
PUNB menjangkakan penawaran yang lebih kompetitif itu dapat membantu lebih ramai usahawan bumiputera memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan kapasiti operasi dan merebut peluang pertumbuhan baharu.
Golongan usahawan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program pembiayaan, syarat kelayakan dan proses permohonan melalui laman web rasmi PUNB di www.punb.com.my
-- BERNAMA