K-Test Labur US$50 Juta Bagi Perkasa Ekosistem Semikonduktor Perak
BATU GAJAH, 30 Julai (Bernama) -- Pelaburan sebanyak US$50 juta oleh syarikat pakar pengujian semikonduktor Korea Selatan, K-Test Co. Ltd (K-Test) dijangka memperkukuh ekosistem industri elektrik dan elektronik (E&E) Perak, sekali gus merangsang pertumbuhan sektor pembuatan berteknologi tinggi di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata demikian pada majlis pecah tanah kemudahan baharu syarikat itu hari ini yang dijangka siap pada suku pertama tahun depan.
Kemudahan baharu itu bakal melengkapkan rantaian bekalan industri semikonduktor, sekali gus menjadi pembekal utama kepada pemain industri sektor itu di negeri ini.
“Kebiasaannya apabila kita bercakap mengenai industri E&E, syarikat-syarikat lebih tertumpu di utara Semenanjung Malaysia, tetapi sebenarnya di Perak, khususnya di sekitar Ipoh juga mempunyai beberapa syarikat penting dalam industri ini yang kurang diketahui umum.
“Oleh itu, kehadiran K-Test ini akan melengkapkan ekosistem sedia ada dan menyokong syarikat-syarikat utama yang telah beroperasi di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah K-Test Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif K-Test Malaysia Brandon Lee dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak Dr Ahmad Shahir Abdul Aziz.
Loh berkata antara faktor utama K-Test memilih Perak sebagai destinasi pelaburan adalah kestabilan tenaga kerja di negeri ini yang disifatkan lebih baik berbanding kawasan lain di utara Semenanjung Malaysia.
Selain itu, katanya, kadar pertukaran pekerja antara syarikat di Perak adalah lebih rendah, sekali gus membolehkan syarikat mengekalkan tenaga kerja dengan lebih stabil.
“Secara dasarnya syarikat ini terlibat dalam pengujian dan pemasangan penyumberan luar (OSAT) yang lebih kepada aktiviti hiliran semikonduktor, jadi kami sangat berbangga kerana ini merupakan syarikat Korea pertama yang berjaya ditarik (untuk melabur) dan apa yang lebih penting ialah projek ini melibat sektor semikonduktor.
“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, syarikat akan menjalankan aktiviti OSAT untuk semua pelanggan mereka bukan sahaja yang ada di Malaysia tetapi juga dari Taiwan, Korea dan pelbagai lagi negara,” katanya.
Sementara itu, Lee berkata Malaysia dipilih kerana negara ini dilihat sebagai hab semikonduktor yang semakin kompetitif dan mempunyai prospek pertumbuhan yang kukuh pada masa depan.
“Kami melihat Malaysia sebagai hab semikonduktor yang semakin berkembang dengan potensi pertumbuhan yang kukuh.
“Ia menjadi lokasi yang semakin kompetitif bagi industri semikonduktor, dan itulah sebabnya kami memilih untuk melabur di sini.
“Kami akan menggajikan rakyat Malaysia dan menghantar mereka dalam kumpulan seramai enam orang untuk menjalani latihan di Korea.
“Sekembalinya mereka nanti, kumpulan lain akan menjalani program yang sama dan pada masa sama, jurutera kami yang berpengalaman dari Korea akan ditempatkan di Malaysia untuk membimbing tenaga kerja tempatan, sekali gus memperkukuh keupayaan teknikal mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata matlamat jangka panjang syarikat adalah untuk melaksanakan operasi secara berperingkat dengan membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi bagi mengisi peranan teknikal utama.
Terdahulu, K-Test memulakan pembinaan fasiliti pembuatan pertamanya di Ipoh dengan kerjasama InvestPerak Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Syarikat itu akan menyediakan perkhidmatan pengujian wafer dan pengujian akhir bagi semikonduktor memori, sistem dan kuasa serta bakal menyediakan 100 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
-- BERNAMA