BERITA TERKINI   Mendedahkan laporan RCI TH bukan isu politik picisan tetapi tanggungjawab pelihara kepentingan umat Islam - PM Anwar | Kempen Internet Selamat diperluas ke kawasan luar bandar, tingkat pemahaman rakyat secara menyeluruh - Fahmi | Pendedahan laporan RCI TH bukan strategi PRN, Kabinet sebulat suara setuju laporan didedah - Fahmi | Axis REIT beli kompleks perindustrian di Kedah bernilai RM113 juta | Dewan Negara lulus RUU Profesion Kerja Sosial 2026 | 

Keyakinan Pelabur Asing Terus Jadikan Malaysia Destinasi Pilihan, Pacu Pelaburan Domestik -- Sim

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) — Malaysia terus menjadi destinasi pilihan syarikat asing berikutan kedudukannya yang strategik dan neutral dalam landskap geopolitik global serta akses kepada pelbagai pasaran, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.

Beliau berkata faktor itu sekali gus menyumbang kepada kejayaan meraih RM1.14 trilion pelaburan diluluskan dalam tempoh tiga tahun di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, dasar kerajaan merancakkan kerjasama strategik di antara pelaburan asing dan pelaburan domestik turut membuahkan hasil apabila pelaburan asing menjadi pemangkin bagi mengukuhkan keupayaan pelabur domestik melabur semula dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Ad Banner

“Dari segi pelaburan domestik dan pelaburan asing, kita tidak meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan sebagainya...ini mengikut keadaan.

“Contohnya, sekarang kita tahu ada banyak syarikat-syarikat luar negara yang amat berminat dengan Malaysia. Mereka masuk kerana usaha Perdana Menteri untuk menarik pelaburan daripada seluruh dunia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Wu Him Ven mengenai sasaran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk meningkatkan pelaburan domestik berbanding asing dalam tempoh lima tahun akan datang serta KPI yang ditetapkan. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sim berkata kerajaan turut menggalakkan pelaburan domestik menerusi Kerangka Insentif Baharu (NIF) yang dilancarkan pada Mac 2026 dengan menyediakan pelbagai insentif kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan pelaburan.

Pada masa sama, kerajaan berusaha memadankan syarikat tempatan dengan syarikat antarabangsa dan syarikat multinasional (MNC) bagi tujuan menjadi vendor serta sebahagian daripada rantaian bekalan bagi memastikan manfaat kemasukan pelaburan asing turut dinikmati oleh pemain tempatan.

Beliau juga melihat keberkesanan kaitan simbiotik antara pelaburan asing dan pelaburan domestik ini.

“Kalau pelabur asing datang, syarikat tempatan pun akan mendapat manfaat. Apabila mereka nampak keyakinan pelabur asing ini, pelabur domestik turut melabur. Ini sesuatu yang sangat positif untuk Malaysia sekarang,” katanya. 

Menjawab soalan asal Senator Rita Sarimah Patrick Insol mengenai peningkatan pelaburan domestik berbanding pelaburan asing dalam tempoh lima tahun, keberkesanan dasar sedia ada menggalakkan syarikat tempatan melabur semula atau bergantung kepada pelaburan asing, Sim berkata Kerajaan MADANI mengutamakan pendekatan seimbang dalam menarik dan memperkukuh kedua-dua pelaburan itu.

Ini berikutan kedua-duanya saling melengkapi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, bagi tempoh lima tahun iaitu 2021 hingga Mac 2026, jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi mencecah RM1.8 trilion dengan pelaburan domestik menyumbang RM818.5 bilion (45.1 peratus) manakala pelaburan asing berjumlah RM996.4 bilion (54.9 peratus).

Perkembangan positif itu juga, katanya, mencerminkan keberkesanan dasar kerajaan dalam menyokong syarikat tempatan untuk terus berkembang.

“Aspek itu termasuk dapat membuktikan dasar-dasar kerajaan membuahkan hasil dalam merangsang syarikat tempatan, mengembangkan operasi dan melabur semula, termasuk kelulusan projek tempatan.

“Bagi tempoh 2021 hingga Mac 2026, sebanyak 4,242 projek pemilikan Malaysia bernilai RM116.1 bilion telah diluluskan dengan pelbagai insentif di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang mewujudkan lebih 37,000 pekerjaan baharu,” katanya.

Sim berkata antara komitmen pelaburan semula syarikat tempatan ialah QL Foods Sdn Bhd membabitkan pelaburan bernilai RM1.3 bilion dan mewujudkan 3,000 pekerjaan baharu manakala Institut Jantung Negara Sdn Bhd (IJN) dengan pelaburan RM260 juta yang mewujudkan 920 pekerjaan baharu.

ViTrox Technologies Sdn Bhd pula melibatkan pelaburan RM250 juta yang mewujudkan 1,889 pekerjaan baharu manakala Ain Medicare Sdn Bhd di Kelantan mencatat pelaburan RM170.9 juta dan mewujudkan sebanyak 82 pekerjaan baharu. 

-- BERNAMA