Indeks Utama Bursa Malaysia Ditutup Pada Paras Tertinggi Harian
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian, disokong oleh minat belian berterusan berikutan ketegangan geopolitik terbaharu.
Peningkatan itu juga mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman di Wall Street susulan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan kadar faedah menjejaskan sentimen yang lebih luas.
Fed AS telah memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah stabil bagi mesyuarat kelima berturut-turut, dengan Kadar Dana Persekutuan tidak berubah antara 3.50 peratus dan 3.75 peratus
Pada 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.84 mata untuk ditutup kepada 1,720.40 daripada 1,715.56 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.14 mata kepada 1,714.42 dan mencatatkan paras terendah pada 1,710.69 pada sesi dagangan awal, seterusnya meraih momentum untuk sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 581 berbanding 411, manakala 612 kaunter tidak berubah, 1,173 tidak diniagakan dan 87 yang lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan susut kepada 2.49 bilion unit bernilai RM2.25 bilion daripada 2.96 bilion unit bernilai RM2.48 bilion pada Rabu.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup lebih tinggi apabila pelabur beralih kepada saham pengguna dan perladangan walaupun prestasi lemah semalaman di Wall Street.
“Pasaran tempatan berbeza daripada negara jiran serantau, dengan pembelian terpilih dalam sektor defensif dan berkaitan komoditi memberikan sokongan kepada indeks penanda aras,” katanya kepada Bernama
Namun, beliau berkata sentimen pelabur kekal berhati-hati berikutan peningkatan semula harga minyak mentah, didorong oleh ketegangan terbaharu antara AS dan Iran, menimbulkan semula kebimbangan terhadap potensi gangguan bekalan dan risiko geopolitik yang lebih luas
“Walaupun pasaran domestik menunjukkan daya tahan, ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat terus menjejaskan prospek bagi tempoh jangka pendek dan boleh meneruskan kedudukan turun naik merentas ekuiti serantau,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, Tenaga Nasional dan CIMB menambah dua sen masing-masing kepada RM10.88, RM14.62 dan RM7.83, Public Bank naik satu sen kepada RM5.16, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.35.
Bagi saham aktif, Zetrix AI menokok satu sen kepada 71.5 sen, Steel Hawk menokok 1.5 sen kepada 23 sen, manakala VS Industry berkurangan 1.5 sen kepada 22 sen, manakala HHRG dan Tanco Holdings susut satu sen masing-masing kepada 12.5 sen dan 24.5 sen.
Antara saham paling untung, Nestle melonjak RM2.72 kepada RM99.50, Fraser & Neave Holdings menambah 60 sen kepada RM28.00, Kuala Lumpur Kepong naik 44 sen kepada RM21.20, Allianz Malaysia meningkat 20 sen kepada RM21.20, dan Westports Holdings menokok17 sen kepada RM7.00.
Malaysian Pacific Industries mendahului saham paling rugi, susut RM1.12 kepada RM43.00, United Plantations merosot 30 sen kepada RM33.70, Ideal Capital berkurangan 20 sen kepada RM3.80, Chin Teck Plantations menguncup 22 sen kepada RM10.82, dan Batu Kawan turun 18 sen kepada RM21.00.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 21.52 mata kepada 12,694.33, Indeks FBM Top 100 menokok 24.14 mata kepada 12,531.31, Indeks FBM Mid 70 susut 12.84 mata kepada 17,968.79, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 25.12 mata kepada 12,530.49, manakala Indeks FBM ACE merosot 1.94 mata kepada 4,922.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 36.84 mata kepada 20,253.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.67 mata kepada 187, Indeks Perladangan meningkat 25.14 mata kepada 9,327.06 dan Indeks Tenaga menokok 0.38 mata kepada 764.06.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.19 bilion unit bernilai RM1.98 bilion daripada 1.32 bilion unit bernilai RM2.16 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 863.66 juta unit bernilai RM122.51 juta daripada 1.16 bilion unit bernilai RM148.38 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 425.20 juta unit bernilai RM153.01 juta daripada 478.75 juta unit bernilai RM173.06 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 141.57 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (226.37 juta), pembinaan (71.27 juta), teknologi (235.46 juta), perkhidmatan kewangan (75.58 juta), hartanah (171.89 juta), perladangan (24.38 juta), amanah pelaburan hartanah (14.57 juta), dana tertutup (173,100), tenaga (79.44 juta), penjagaan kesihatan (66.37 juta), telekomunikasi dan media (24.80 juta), pengangkutan dan logistik (37.34 juta), utiliti (23.78 juta), dan amanah perniagaan (300).
-- BERNAMA