F1 GP Bahrain Dijangka Pacu Sektor Pelancongan Malaysia
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia dijangka melonjak ketara dengan kehadiran peminat Formula Satu (F1) dari seluruh dunia untuk menyaksikan perlumbaan F1 Grand Prix Gulf Air Bahrain (GP Bahrain), yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Nigel Wong Chun Teik berkata acara sukan permotoran nombor satu dunia itu dijangka menarik puluhan ribu pelawat antarabangsa ke Malaysia.
"Walaupun jumlah sebenar pengunjung bergantung kepada faktor seperti pemasaran global, jualan tiket, kesalinghubungan penerbangan serta pakej pelancongan, kami yakin acara ini berpotensi membawa puluhan ribu pelawat antarabangsa tambahan ke Malaysia," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata F1 mempunyai jumlah pengikut yang besar di peringkat global, yang dianggarkan melebihi 800 juta orang di seluruh dunia.
"Berdasarkan pengalaman penganjuran acara sukan permotoran antarabangsa sebelum ini, acara F1 yang dirancang dengan baik mampu menarik ramai pengunjung terutama apabila disertakan dengan kempen pelancongan yang menggalakkan peminat untuk berada lebih lama di sini selepas tamat acara perlumbaan hujung minggu itu," katanya.
Penganjuran acara F1 itu dijangka membantu meningkatkan ketibaan pelancong pada tahun ini sekali gus melengkapkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang menyasarkan ketibaan 47 juta pelancong asing dan RM329 bilion hasil pelancongan, dengan sokongan peruntukan kerajaan melebihi RM700 juta bagi tujuan pemasaran, infrastruktur dan promosi.
Wong berkata GP Bahrain menawarkan peluang unik kepada Malaysia untuk menarik segmen baharu pelancong antarabangsa bernilai tinggi.
Menurutnya, tidak seperti pelancong percutian biasa yang datang terutamanya untuk bersiar-siar dan berehat, pelancong sukan permotoran mempunyai minat mendalam terhadap acara itu sehingga sanggup membelanjakan lebih banyak wang untuk penginapan premium, pakej hospitaliti, makanan, barangan cenderamata dan pengalaman yang eksklusif.
Beliau berkata, ramai pelawat sukan permotoran tidak berkunjung ke sini semata-mata untuk menyaksikan perlumbaan, sebaliknya turut berminat untuk meneroka destinasi pelancongan sama ada sebelum atau selepas acara itu berlangsung.
"Malaysia boleh memanfaatkan peluang ini dengan mempromosikan jadual perjalanan selanjutnya yang merangkumi destinasi seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Sabah dan Sarawak.
"Kehadiran pasukan perlumbaan, penaja, media antarabangsa dan tetamu korporat akan mewujudkan permintaan dalam pelbagai sektor termasuk hotel, syarikat penerbangan, restoran, agensi pelancongan, penyedia pengangkutan dan tarikan pelancongan tempatan," katanya.
Peningkatan ketara jumlah pelancong bernilai tinggi boleh menjana manfaat ekonomi yang besar bukan sahaja melalui perbelanjaan langsung malah menerusi rantaian bekalan yang lebih luas dan menyokong industri pelancongan.
Menurut Wong, langkah mengembalikan semula F1 ke Malaysia akan memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi yang berupaya menganjurkan acara antarabangsa bertaraf dunia.
Malaysia mempunyai rekod prestasi yang terbukti selepas berpengalaman menganjurkan F1 GP Malaysia selama hampir dua dekad sebelum ini selain acara sukan dan perniagaan utama yang lain.
Beliau berkata penganjuran F1 yang berjaya, akan meningkatkan kebolehlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa serta memperkukuh keyakinan dalam kalangan penganjur acara global, pelabur dan sektor perniagaan.
"Acara ini juga akan menyokong pertumbuhan pelancongan sukan dan acara perniagaan yang menjadi segmen penting selain turut menarik kehadiran pelancong bernilai tinggi serta mewujudkan peluang di luar daripada pelancongan percutian biasa.
"Memandangkan Malaysia dalam tempoh TMM 2026, kita perlu terus meletakkan kedudukan negara sebagai destinasi bukan sahaja untuk percutian, malah untuk sukan antarabangsa, hiburan, pameran dan aktiviti perniagaan," katanya.
Wong menegaskan bahawa Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan pelancong untuk melanjutkan tempoh penginapan mereka menerusi program pelancongan sebelum dan selepas acara berlangsung.
Acara berkenaan juga harus dimanfaatkan sebagai platform untuk pelancongan korporat, pelancongan insentif dan peluang rangkaian perniagaan yang melibatkan penaja, pelabur dan rakan kerjasama industri.
“Malaysia telah mempunyai infrastruktur pelancongan yang kukuh, kesalinghubungan yang baik serta tarikan pelancongan yang pelbagai.
“Melalui kerjasama yang sewajarnya di antara kerajaan dengan pemain industri, GP Bahrain boleh menjadi penyumbang penting ke arah mencapai sasaran pelancongan TMM 2026 yang cemerlang,” katanya.
Pada Ahad lepas, F1 dan Fédération Internationale de l'Automobile (FIA) mengesahkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi GP Bahrain di SIC.
Acara itu menandakan perlumbaan F1 pertama yang diadakan di Malaysia sejak GP Malaysia dihentikan selepas musim 2017.
-- BERNAMA