Pelabuhan Tawau Peroleh Dua Kren Dermaga Baharu Bernilai RM70 Juta - Hajiji
TAWAU, 2 Ogos (Bernama) -- Pelabuhan Tawau memperoleh dua kren dermaga (quay crane) baharu bernilai RM70 juta bagi mempertingkat kapasiti pengendalian kargo serta mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk maritim utama di Pantai Timur Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelaburan itu merupakan langkah strategik kerajaan negeri menerusi Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) untuk memodenkan infrastruktur pelabuhan, sekali gus mempertingkat kecekapan operasi dan daya saing pelabuhan di Sabah.
Beliau berkata apabila mula beroperasi kelak, kedua-dua kren itu dijangka meningkatkan produktiviti pengendalian kargo, mempercepat tempoh pusingan kapal, mengurangkan masa menunggu serta memperkukuh keupayaan Pelabuhan Tawau mengendalikan kapal yang lebih besar dan jumlah kargo yang semakin meningkat.
"Pelaburan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan, malah mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah untuk jangka panjang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kren Baharu di Pelabuhan Tawau, di sini hari ini.
Hajiji berkata sistem pelabuhan yang cekap dan berdaya harap amat penting bagi menyokong pertumbuhan sektor ekonomi, khususnya industri berorientasikan eksport yang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri.
Beliau berkata penaiktarafan Pelabuhan Tawau juga akan memperkukuh kesalinghubungan dengan pasaran domestik dan serantau, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai hab logistik dan perdagangan di Pantai Timur Sabah.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada SPSB, Suria Capital Holdings Berhad serta semua pihak yang terlibat atas komitmen berterusan mempertingkat infrastruktur maritim negeri selaras dengan agenda pembangunan Sabah.
Sementara itu, Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata pelaburan RM70 juta itu mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan berkenaan untuk melengkapkan Pelabuhan Tawau dengan kemudahan moden yang mampu memenuhi keperluan perdagangan pada masa hadapan.
"Pelabuhan Tawau memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan, aktiviti perindustrian serta hubungan serantau di Pantai Timur Sabah.
"Pelaburan ini akan meningkatkan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi pertumbuhan perdagangan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Tawau dan kawasan sekitarnya," katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman serta Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah Datuk Donald Mojuntin.
-- BERNAMA