Maker Recipe Labur RM1.7 Juta, Sasar Rempah Cap O Tembusi Pasaran Global
JITRA, 3 Ogos (Bernama) -- Pengeluar rempah tempatan, Maker Recipe Sdn Bhd akan melabur kira-kira RM1.7 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang sebagai persediaan untuk jenama rempah tradisional Cap O menembusi pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aimi Syairah Md Zin berkata pelaburan itu memberi tumpuan dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh aspek pensijilan, penyelidikan, pendigitalan serta penjenamaan bagi memastikan syarikat memiliki asas kukuh sebelum mula mengeksport.
Beliau berkata strategi syarikat adalah mengukuhkan kedudukan jenama itu di pasaran domestik terlebih dahulu sebelum ia berkembang ke luar negara.
“Kami tidak mahu tergesa-gesa memasuki pasaran luar negara. Apabila Cap O berada di pasaran antarabangsa nanti, kami mahu semuanya telah bersedia daripada segi kapasiti pengeluaran, pensijilan dan rantaian bekalan,” katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Maker Recipe di Kawasan Perindustrian Bandar Baru Darulaman di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, daripada jumlah pelaburan itu, RM700,000 akan digunakan bagi menaik taraf mesin pengeluaran, RM500,000 untuk penambahbaikan fasiliti kilang, manakala bakinya diperuntukkan bagi pembangunan makmal penyelidikan, pemasaran digital, penjenamaan dan persediaan eksport.
Aimi Syairah berkata kilang syarikat kini mengeluarkan kira-kira 80 tan rempah sebulan, namun kapasiti sedia ada telah mencapai had maksimum, justeru penambahan mesin baharu dijangka membolehkan syarikat memenuhi permintaan yang semakin meningkat di samping menyokong perancangan eksport.
Bagi memastikan kualiti produk kekal konsisten, Maker Recipe turut membangunkan makmal penyelidikan sendiri dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menguji setiap formulasi produk sebelum dipasarkan, termasuk menyesuaikan penggunaan bahan mentah tanpa mengubah rasa asal resipi, katanya.
"Kekuatan utama Cap O terletak pada resipi tradisional Melayu yang diwarisi sejak lebih dua dekad lalu, dan identiti itu akan terus dikekalkan walaupun syarikat memanfaatkan teknologi moden serta inovasi dalam proses pengeluaran.
“Pengguna masih mencari rasa asli dan warisan. Sebab itu kami menggabungkan sains makanan dengan resipi tradisional supaya setiap produk Cap O memberikan rasa yang sama setiap kali dibeli,” kata beliau.
Dalam usaha memperkukuh daya saing, Maker Recipe turut mempercepat transformasi digital dengan mengguna pakai sistem pengurusan bersepadu yang menghubungkan operasi di Jitra, Bukit Kayu Hitam, Ipoh, Pagoh dan Rawang.
Syarikat turut memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), sistem inventori masa nyata, Google Analytics dan penjadualan penghantaran berasaskan GPS bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Menurut Aimi Syairah syarikat juga menubuhkan jabatan pemasaran digital bagi memperluaskan capaian jenama, khususnya dalam kalangan generasi muda seta memanfaatkan media sosial untuk membina hubungan lebih rapat dengan pengguna serta memahami trend pasaran semasa.
Cap O, yang kini dipasarkan di lebih 3,600 premis di seluruh negara, bermula daripada perusahaan kecil yang diasaskan oleh pemilik jenama dikenali sebagai Che Olah.
Ia kemudiannya diambil alih bersama resipi turun-temurun oleh keluarga pengasas Maker Recipe yang melihat potensinya untuk dikembangkan.
Mengulas mengenai pasaran eksport, Aimi Syairah berkata syarikat itu menerima minat daripada beberapa negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi, namun keutamaan ketika ini adalah mendapatkan pensijilan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan di pasaran domestik.
"Matlamat kami bukan sekadar mengeksport rempah, tetapi membawa warisan resipi tradisional Melayu supaya dikenali di peringkat dunia,” katanya.
-- BERNAMA