BERITA TERKINI   Ketua Pemuda UMNO Maran bersama isteri dan seorang anak serta adik ipar maut dalam kejadian pokok tumbang di Bentong - UMNO Bahagian Jerantut | KPT pantau rapi keselamatan pelajar susulan ketidaktentuan di Asia Barat - Zambry | Dewan Negara lulus RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 | Prosedur pemeriksaan juruterbang, kru penerbangan di lapangan terbang akan ditambah baik - KP AKPS | Badrul Hisham Mohd dilantik sebagai Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia berkuat kuasa 3 Ogos 2026 | 

Maybank Bakal Miliki Sepenuhnya Maybank Ageas Holdings Dalam Urus Niaga Bernilai RM4.83 Bilion

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) memeterai Perjanjian Pelaksanaan (IA) dengan Ageas Insurance International NV (Ageas) untuk membeli baki 30.95 peratus kepentingan dalam Maybank Ageas Holdings Bhd (Maybank Ageas) pada harga RM4.83 bilion.

Pembelian itu sekali gus membuka jalan kepada pemilikan penuh syarikat pegangan insurans dan takaful berkenaan.

Maybank Ageas merupakan syarikat pegangan bagi perniagaan Etiqa di Malaysia serta Singapura yang menyediakan rangkaian lengkap produk insurans konvensional hayat dan am serta produk takaful keluarga dan am melalui pengedaran pelbagai saluran.

Ad Banner

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maybank menyatakan harga pembelian yang dipersetujui selepas mengambil kira pelarasan susulan cadangan dividen RM800 juta oleh Maybank Ageas, mewakili nisbah harga kepada nilai buku sebanyak 1.98 kali dan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 15.3 kali.

Maybank akan membiayai cadangan pembelian itu melalui gabungan sumber pembiayaan dalaman dan luaran.

Bersempena dengan cadangan pembelian berkenaan, permohonan rasmi kepada Bank Negara Malaysia dikemukakan untuk kelulusan bersama-sama dengan IA yang ditandatangani dan draf Perjanjian Jual Beli Saham yang dipersetujui.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Maybank Investment Bank dan Morgan Stanley Asia (Singapore) Pte masing-masing merupakan penasihat kewangan dan penasihat kewangan antarabangsa kepada Maybank bagi cadangan pengambilalihan tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata langkah ini merupakan permulaan kepada fasa menarik bagi strategi ROAR30 Maybank ketika kumpulan perbankan itu terus melabur dalam Etiqa.

Etiqa, katanya merupakan sebuah peneraju nasional untuk memacu pertumbuhan dan memperluas penembusan pelanggan di peringkat serantau selain menjana nilai kepada pemegang saham.

“Urus niaga ini merupakan satu pencapaian penting bagi Maybank dalam mencorak fasa pertumbuhan seterusnya bagi perniagaan insurans dan takafulnya di seluruh Asia Tenggara.

“Kami juga akan terus melabur dalam inovasi dan memanfaatkan keupayaan digital bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi serta memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih baik,” katanya.

Khairussaleh berkata pelanggan baharu dan sedia ada juga akan mempunyai akses kepada rangkaian penyelesaian yang lebih luas termasuk penawaran produk yang dipertingkat.

Ini, tambah beliau, merupakan sebahagian daripada komitmen Maybank yang diperkukuh untuk meningkatkan akses serta mempermudah perlindungan insurans dan takaful yang diperoleh oleh semua pengguna.

“Melangkah ke hadapan, Maybank akan terus memacu penciptaan nilai jangka panjang untuk para pemegang sahamnya dan pemilikan penuh Maybank Ageas merupakan satu daripada inisiatif bagi tujuan tersebut,” katanya.

Menurut Maybank, pembelian berkenaan akan memperkukuh francais insurans dan takafulnya menerusi penembusan pelanggan yang lebih mendalam, menyokong pengembangan serantau di seluruh Asia Tenggara dan meningkatkan nilai pemegang saham jangka panjang melalui pertambahan perolehan.

Selain itu, ia juga menambah baik kecekapan pengurusan modal bagi menyokong pembayaran dividen yang mampan.

“Maybank juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ageas atas sumbangan tidak ternilai mereka dalam membangunkan francais Etiqa bersama Maybank sejak 2001 iaitu ketika kerjasama kami bermula," tambah Khairussaleh.

-- BERNAMA