BERITA TERKINI   Ketua Pemuda UMNO Maran bersama isteri dan seorang anak serta adik ipar maut dalam kejadian pokok tumbang di Bentong - UMNO Bahagian Jerantut | KPT pantau rapi keselamatan pelajar susulan ketidaktentuan di Asia Barat - Zambry | Dewan Negara lulus RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 | Prosedur pemeriksaan juruterbang, kru penerbangan di lapangan terbang akan ditambah baik - KP AKPS | Badrul Hisham Mohd dilantik sebagai Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia berkuat kuasa 3 Ogos 2026 | 

Malaysia Bersedia Hadapi Ancaman Siber Canggih - Kaspersky

Daripada K. Naveen Prabu

GUANGZHOU, 3 Ogos (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menghadapi ancaman siber canggih yang menyasarkan institusi kerajaan, menurut syarikat keselamatan siber global Kaspersky.

Ketua Pusat Penyelidikan bagi Asia Pasifik serta Timur Tengah, Turkiye dan Afrika, Sergey Lozhkin, berkata Kaspersky mempunyai gambaran langsung mengenai landskap ancaman siber Malaysia menerusi kehadiran penyelidikannya di negara ini, selain terus memantau aktiviti ancaman berterusan lanjutan (advanced persistent threat atau APT).

Ad Banner

"Malaysia adalah satu situasi yang menarik. Kami mempunyai penyelidik di Malaysia, jadi kami dapat melihat secara langsung apa yang berlaku di sana.

"Kami melihat banyak serangan APT di Malaysia, namun negara ini melakukan tugas yang baik dalam melindungi sektor kerajaan. Dari segi kesiapsiagaan keselamatan siber kerajaan, Malaysia lebih hampir dengan Singapura, dan itu adalah perkembangan yang positif," katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar Kaspersky Cybersecurity Weekend 2026 di sini hari ini.

APT merujuk kepada serangan siber yang sangat canggih dan disasarkan, lazimnya dilakukan oleh kumpulan berkaitan negara atau organisasi penggodam yang mempunyai sumber kewangan besar, bagi menyusup ke rangkaian serta kekal tidak dikesan untuk tempoh panjang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Lozhkin berkata kerajaan di seluruh dunia kini berdepan peningkatan ancaman daripada pelaku siber tajaan negara yang semakin canggih, justeru tiada negara boleh mengabaikan pelaburan dalam memperkukuh keupayaan keselamatan siber.

"Adalah sukar untuk membuat persediaan menghadapi APT canggih seperti serangan tajaan negara. Ia juga sukar untuk melindungi diri daripada ancaman sedemikian," katanya.

Beliau berkata sesetengah organisasi kerajaan berdepan risiko dikompromi oleh beberapa kumpulan APT secara serentak akibat tahap perlindungan keselamatan yang tidak mencukupi, terutama di negara membangun yang mempunyai peruntukan keselamatan siber terhad.

"Kita hidup dalam dunia dengan keadaan politik yang tidak stabil. Jika kerajaan tidak melabur dalam peruntukan keselamatan siber, tenaga kerja dan perancangan, mereka akan menjadi sasaran pelbagai APT. Maklumat akan dibocorkan dan dicuri," katanya.

Lozhkin berkata kerajaan perlu memberi keutamaan kepada risikan ancaman (threat intelligence) serta meningkatkan kesedaran keselamatan siber di semua peringkat sektor awam, bukan hanya dalam kalangan pegawai teknologi maklumat (IT).

"Untuk kerajaan, dua perkara paling penting ialah risikan ancaman dan pendidikan. Kakitangan kerajaan di semua peringkat, bukan sahaja mereka yang terlibat dalam keselamatan siber atau IT, tetapi juga dalam kewangan, sumber manusia, perhubungan awam dan jabatan lain, perlu menerima sekurang-kurangnya pendidikan asas keselamatan siber," katanya.

Sementara itu, mengenai rancangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan pasukan siber khusus, Lozhkin menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan positif yang mampu memperkukuh keupayaan pertahanan siber negara.

"Jika kerajaan Malaysia mempunyai penyelidik keselamatan siber sendiri yang bukan sahaja mengendalikan pusat operasi keselamatan, tetapi turut menjalankan penyelidikan, memburu ancaman baharu dan mendahului penyerang, ia akan menjadi satu perkembangan yang sangat baik," katanya.

Beliau berkata pembangunan keupayaan penyelidikan keselamatan siber dalaman akan membolehkan kerajaan membangunkan risikan ancaman sendiri, sekali gus meningkatkan keupayaan menjangka dan menangani ancaman baharu.

"Jika pasukan sedemikian ditubuhkan, kami berminat untuk bertemu, membantu dan bekerjasama dengan mereka. Ia satu peluang yang baik," katanya.

Bulan lalu, dilaporkan bahawa Kementerian Pertahanan sedang berusaha menubuhkan pasukan siber sebagai cabang perkhidmatan keempat ATM bagi menangani ancaman daripada peperangan moden dan kognitif.

-- BERNAMA