BERITA TERKINI   Ketua Pemuda UMNO Maran bersama isteri dan seorang anak serta adik ipar maut dalam kejadian pokok tumbang di Bentong - UMNO Bahagian Jerantut | KPT pantau rapi keselamatan pelajar susulan ketidaktentuan di Asia Barat - Zambry | 

Gesaan PM Anwar Mengenai Isu Pekerja Asing Restoran Bukti Kerajaan Prihatin Kebimbangan Industri - FMBA

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) menyambut baik gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya permohonan penggajian pekerja asing yang masih tertunggak, diselesaikan dalam tempoh sebulan, dengan keutamaan diberikan kepada sektor restoran.

Menurutnya gesaan tu mencerminkan kesediaan kerajaan untuk mendengar suara penggiat industri di peringkat akar umbi serta mengambil tindakan yang konkrit dalam tempoh yang ditetapkan bagi menangani kebimbangan itu.

FMBA memaklumkan, keputusan kerajaan menetapkan tempoh sebulan bagi menyelesaikan permohonan itu dan pada masa sama menggesa industri untuk tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing tidak mahir, mencerminkan pendekatan seimbang antara keprihatinan terhadap perniagaan yang berdepan kesukaran dan kepentingan jangka panjang negara.

Ad Banner

"Sejak beberapa bulan lepas, FMBA bersama-sama persatuan ahlinya yang mewakili ribuan restoran serta pengusaha perkhidmatan makanan di seluruh negara telah menyuarakan kebimbangan yang serius terhadap kelewatan berpanjangan dalam kelulusan permohonan pekerja asing.

“Kelewatan itu secara langsung menjejaskan operasi perniagaan, kualiti perkhidmatan serta mata pencarian pekerja tempatan yang bergantung kepada ekosistem tenaga kerja yang berfungsi dengan baik," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri ketika melancarkan Kerangka Transformasi India Muslim (IMTF) 2030 di Butterworth baru-baru ini berkata kerajaan memahami keperluan mendesak pengusaha restoran di negara ini untuk mengisi kekosongan tenaga kerja, namun pada masa sama perlu memastikan pengambilan pekerja asing dilakukan secara terkawal.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Anwar juta mengarahkan kementerian serta jabatan berkaitan supaya memberi keutamaan kepada permohonan penggajian pekerja asing yang masih belum diselesaikan.

Sementara itu, menurut FMBA, industri restoran serta makanan dan minuman adalah antara penyumbang pekerjaan terbesar dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia manakala kekurangan tenaga kerja yang serius memberi tekanan besar kepada pengusaha terutama restoran mamak dan kedai makan yang menjadi sebahagian daripada perkara penting dalam kehidupan harian rakyat Malaysia.

FMBA yakin bahawa pembabitan kerajaan yang tepat pada masanya akan membantu memulihkan kestabilan operasi, melindungi peluang pekerjaan serta memperkukuh keyakinan pelabur dan pengusaha terhadap sektor berkenaan.

FMBA juga menggesa kerajaan untuk tidak meneruskan pelaksanaan Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP) buat masa ini berikutan berpotensi meningkatkan kos operasi perniagaan, khususnya PKS yang telah berdepan kenaikan kos buruh, utiliti, pengangkutan dan pematuhan.

-- BERNAMA