KLIA Terminal 1 Tambah Baik Kemudahan Pengambilan E-Panggilan Bermula 4 Ogos - MAHB

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 memperkenalkan beberapa penambahbaikan pada kemudahan pengambilan e-panggilan yang bertujuan memberi pengalaman ketibaan yang lebih lancar, cepat dan selesa kepada penumpang berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyatakan penambahbaikan berkenaan merangkumi pengenalan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Kenderaan (LPR) yang diintegrasikan dengan Sistem Paparan Maklumat Penumpang (PIDS).

Selain itu, turut diperkenalkan kios layan diri, ruang menunggu khas penumpang, ruang pengambilan berstruktur dan marsyal bertugas di lokasi.

Ad Banner

Menurut pengendali lapangan terbang itu, sistem yang ditambah baik ini akan memperkukuh pemantauan dan kawalan akses sekali gus membantu membanteras aktiviti e-panggilan haram selain memastikan hanya kenderaan e-panggilan yang sah menggunakan kemudahan pengambilan penumpang yang disediakan.

“Bagi memastikan operasi berterusan dan penyelenggaraan kemudahan serta sistem yang ditambah baik ini, yuran kemasukan sebanyak RM3 akan dikenakan bagi setiap kenderaan e-panggilan yang memasuki kawasan pengambilan penumpang yang ditetapkan di Tingkat 1, Bangunan Terminal Utama, KLIA Terminal 1 bermula 4 Ogos, 2026,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan operasi, MAHB memaklumkan kenderaan e-panggilan akan terus diperuntukkan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan penumpang di tepi jalan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kenderaan yang melebihi tempoh tersebut akan dikenakan caj penalti berkenaan sekali gus membantu memastikan kelancaran aliran trafik, ketersediaan ruang pengambilan penumpang yang lebih baik serta pengalaman pengambilan penumpang yang lebih cekap untuk semua,” jelasnya.

MAHB memberitahu penambahbaikan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan KLIA untuk meningkatkan pengalaman penumpang, mengoptimumkan pergerakan trafik dan memantapkan kecekapan operasi.

“Inisiatif ini dibangunkan susulan sesi libat urus bersama pengendali e-panggilan serta melalui penyelarasan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) seiring dengan cadangan Jawatankuasa Kerja Fasilitasi Lapangan Terbang Kebangsaan (NAFWC),” tambahnya.

-- BERNAMA