FedEx Perkukuh Ketersambungan Malaysia Menerusi Perkhidmatan Tanpa Henti Guangzhou-Sydney

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Syarikat pengangkutan global Federal Express Corporation (FedEx) melancarkan laluan perkhidmatan baharu Guangzhou-Sydney yang akan memperkukuh hubungan perdagangan ke Australia dari pasaran utama di seluruh Asia, termasuk Malaysia.

FedEx dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan rangkaian intra-Asia syarikat itu dipertingkat dengan perkhidmatan kapal kargo tanpa henti khusus baharu antara hab Asia Pasifiknya di Guangzhou, China dan Sydney, Australia.

"Laluan baharu itu yang beroperasi lima kali seminggu menggunakan pesawat pengangkut Boeing 777, dijangka menyediakan masa transit sehingga satu hari lebih pantas untuk penghantaran terpilih dari pasaran utama Asia untuk sampai ke Australia dalam masa dua hari bekerja sahaja.

Ad Banner

"Pasaran ini termasuk bahagian selatan China, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Thailand dan Filipina," maklum kenyataan itu.

Menurut syarikat tersebut, bagi perniagaan Malaysia, ketersambungan yang dipertingkat itu menyokong sektor seperti elektronik, pembuatan, penjagaan kesihatan dan e-dagang yang bergantung kepada logistik rentas sempadan pantas dan terjamin.

"Laluan baharu itu membolehkan perniagaan di seluruh rantau ini meningkatkan kecekapan rantaian bekalan melalui penghantaran pantas yang ditambah baik dan pengurangan kos penyimpanan inventori serta peningkaran kapasiti untuk pengangkutan barangan berat dan bernilai tinggi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Ia juga menyokong pertumbuhan perniagaan-ke-perniagaan dalam sektor yang bernilai tinggi dan sangat bergantung kepada kepantasan penghantaran," maklum FedEx.

Sementara itu, pengarah urusan FedEx Malaysia, Woon Tien Long berkata ketersambungan baharu itu menyediakan infrastruktur kepada perniagaan Malaysia untuk mencari peluang di pasaran Australia dan seluruh Asia Pasifik.

“Australia telahpun menjadi rakan dagang kukuh bagi Malaysia, dan perdagangan (antara kedua-duanya) sedang berkembang. Kita melihat lebih banyak pergerakan barangan bernilai tinggi dan yang memerlukan penghantaran pantas antara kedua-dua pasaran.

"Peralihan itu memerlukan keupayaan logistik yang berbeza, yang dibina berdasarkan kebolehramalan dan kepantasan dan bukan sekadar kapasiti," maklum kenyataan itu.

-- BERNAMA