Sistem Percukaian Dunia Perlu Bergerak Seiring Dengan Landskap Ekonomi Digital - Amir Hamzah
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sistem percukaian dunia perlu bergerak seiring dengan landskap ekonomi yang semakin cenderung ke arah pendigitalan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata model perniagaan baharu, transaksi rentas sempadan dan perkembangan cukai antarabangsa memerlukan kerajaan untuk mengambil pendekatan yang lebih moden untuk melaksanakan dasar dan pentadbiran cukai.
"Malaysia telah bertindak balas secara proaktif terhadap perkembangan ini.
"Melalui reformasi berterusan dan inisiatif digitalisasi, kita (kerajaan) sedang mengukuhkan ketelusan, kecekapan dan integriti ekosistem cukai bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan menarik sebagai destinasi pelaburan," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Amir Hamzah juga berkata sistem percukaian yang kukuh mencerminkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam serta kesediaan sektor industri dan individu untuk memainkan peranan dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
"Lebih penting lagi, (sistem percukaian yang kukuh) menggambarkan kapasiti kerajaan untuk menggunakan sumber awam secara bertanggungjawab dalam pembangunan negara.
"Perkembangan global kebelakangan ini membuktikan bahawa negara yang mempunyai institusi yang kukuh, tadbir urus mantap dan kewangan awam mampan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengemudi ketidaktentuan, menangani krisis dan merebut peluang baharu," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berkata kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan, inovasi dan keusahawanan.
Katanya, dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, mencerminkan keazaman kerajaan meletakkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi kompetitif dalam bersedia menghadapi masa hadapan.
-- BERNAMA