BERITA TERKINI   Politik mungkin membentuk mandat kerajaan, namun perkhidmatan awam perlu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat - Ahmad Zahid | RCI Tabung Haji: BN,UMNO tidak akan kompromi jika benar ada pihak pecah amanah, salah tadbir - Ahmad Zahid | BN Melaka berhasrat pertahan 21 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini - Ahmad Zahid | Persaingan politik di peringkat negeri tidak jejas kestabilan Kerajaan Perpaduan - TPM Ahmad Zahid | Pelabur antarabangsa papar keyakinan tinggi terhadap kedudukan kewangan Malaysia -- Amir Hamzah | 

LRT Laluan Mutiara Catat Pencapaian Penting, MRCB-Theta Edge Peroleh Kontrak RM3.028 Bilion

GEORGE TOWN, 6 Ogos (Bernama) -- Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara mencatat satu lagi pencapaian penting apabila Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan penganugerahan Kontrak Sistem Turnkey (STC) bernilai RM3.028 bilion kepada usahasama Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Theta Edge Berhad (MRCB-Theta Edge JV).

Dalam kenyataan hari ini, MRT Corp memaklumkan pelantikan itu membolehkan reka bentuk terperinci sistem rel dilaksanakan serentak dengan kerja pembinaan awam yang sedang berjalan, sekali gus memastikan keseluruhan projek disiapkan mengikut perancangan.

"Kontrak STC merangkumi tujuh pakej utama sistem rel, termasuk tren elektrik dan peralatan depoh; sistem isyarat dan kawalan tren bersama dengan pintu platform automatik; kerja landasan, rel konduktor, kenderaan penyelenggaraan serta sistem bekalan dan pengagihan kuasa.

Ad Banner

“Ia turut merangkumi sistem sistem rel SCADA dan sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer; sistem telekomunikasi dan teknologi maklumat; serta sistem kutipan tambang automatik," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, proses tender bagi Pakej Kontrak Sivil Utama 2 (CMC2) yang meliputi lanjutan jajaran dari Komtar ke Penang Sentral turut berjalan mengikut perancangan, dengan penilaian tender kini sedang dilaksanakan dan penganugerahan kontrak disasarkan pada November depan.

Menurut kenyataan itu, kontraktor bagi Kontrak Sivil Utama 1 (CMC1) telah menawarkan pelbagai pakej subkontrak bagi pembinaan stesen dan kerja berkaitan, sejajar dengan perkembangan aktiviti pembinaan di seluruh projek.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MRT Corp turut memaklumkan penyertaan syarikat bumiputera di bawah pakej CMC1 kini telah melebihi 20 peratus daripada jumlah nilai kontrak, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh penglibatan bumiputera serta membangunkan keupayaan industri tempatan sepanjang pelaksanaan projek.

Sementara itu, menurut MRT Corp kerja-kerja di bawah CMC1 yang meliputi jajaran dari Silicon Island ke KOMTAR, berjalan mengikut jadual menerusi pendekatan reka bentuk dan bina secara serentak, yang membolehkan kerja pembinaan diteruskan sementara reka bentuk kejuruteraan terperinci dimuktamadkan.

“Hasil pembinaan telah mencapai kemajuan dengan siapnya 45 penutup cerucuk dan 32 tiang jejambat, manakala aktiviti pembinaan kini sedang dijalankan di 14 daripada 19 seksyen pembinaan yang dirancang di bawah pakej CMC1,” menurut kenyataan itu.

MRT Corp, sebagai pemilik aset dan pengurus projek, memaklumkan proses pengambilan tanah turut mencatat kemajuan memberangsangkan apabila 93 peratus daripada keseluruhan tanah yang diperlukan bagi pakej CMC1 telah diperoleh hasil kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi berkaitan.

Di Silicon Island, menurut kenyataan itu kerja penyiasatan tanah telah dimulakan bagi memudahkan pembinaan depoh yang bakal menjadi sebahagian daripada projek itu.

“Susulan penyerahan tapak di Tapak Pesta oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada April lepas, MRT Corp telah menyelesaikan kerja merobohkan struktur lama serta penyediaan tapak yang diperlukan, sekali gus membolehkan aktiviti pembinaan dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.

-- BERNAMA