Kerajaan Sediakan Kepastian Dasar, Sektor Swasta Perlu Memacu Pelaburan - Amir Hamzah
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Peranan kerajaan adalah memastikan asas dasar serta rangka kerja fiskal yang berwibawa, di samping menggunakan modal awam bagi merancakkan pasaran supaya modal swasta dapat memainkan peranan lebih besar dalam memacu pelaburan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata walaupun kerajaan mampu menyediakan kepastian dasar dan mengekalkan rangka kerja fiskal yang berwibawa, tanggungjawab membiayai inovasi serta pengembangan perniagaan perlu semakin dipikul oleh bank, pelabur institusi, syarikat modal teroka dan syarikat ekuiti persendirian.
“Kerajaan boleh menyediakan kepastian, namun pasaran perlu bersedia mengambil risiko.
"Kerajaan perlu memastikan asas ekonomi kekal stabil dan boleh dijangka, manakala pelabur perlu meneroka potensi baharu dengan menyokong syarikat, teknologi dan model perniagaan baharu sebelum hasilnya dapat dilihat dengan jelas," katanya dalam ucaptama pada RHB Progress Series 2026 di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata firma modal teroka boleh mengambil risiko pada peringkat awal, manakala penyedia modal pertumbuhan dan firma ekuiti persendirian berperanan membiayai syarikat yang sedang berkembang.
Menurut beliau, bank akan memainkan peranan yang lebih penting apabila aliran tunai syarikat semakin kukuh, sementara pasaran modal menjadi satu lagi sumber pembiayaan apabila syarikat mencapai tahap kematangan.
Beliau berkata inisiatif seperti Jelawang Capital oleh Khazanah Nasional Bhd dan Dana Perintis oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) membantu menyalurkan lebih banyak modal institusi kepada syarikat pada peringkat awal, manakala bank dan pasaran modal menyediakan sumber pembiayaan yang lebih meluas pada peringkat pertumbuhan seterusnya.
"Kekuatan ekosistem pembiayaan itu terletak pada kesinambungan antara setiap sumber pembiayaan, membolehkan syarikat yang telah membuktikan keupayaannya pada satu peringkat memperoleh modal untuk berkembang secara semula jadi ke peringkat seterusnya," katanya.
Amir Hamzah berkata penerbitan sukuk global turut menyediakan penanda aras yang berguna kepada kerajaan, manakala pelabur antarabangsa menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap risiko kedaulatan Malaysia.
"Persoalannya kepada bank, pemilik aset dan pengurus dana yang berada di sini ialah sama ada sistem kewangan negara mempunyai kepakaran serta instrumen yang diperlukan untuk menyokong syarikat Malaysia yang berpotensi lebih awal dalam fasa pertumbuhan mereka.
"Standardnya kekal tinggi. Bezanya ialah keupayaan untuk menilai dan menentukan harga risiko lebih awal, berbanding menunggu sehingga ketidaktentuan itu hilang," katanya.
-- BERNAMA