BERITA TERKINI   Politik mungkin membentuk mandat kerajaan, namun perkhidmatan awam perlu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat - Ahmad Zahid | RCI Tabung Haji: BN,UMNO tidak akan kompromi jika benar ada pihak pecah amanah, salah tadbir - Ahmad Zahid | BN Melaka berhasrat pertahan 21 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini - Ahmad Zahid | Persaingan politik di peringkat negeri tidak jejas kestabilan Kerajaan Perpaduan - TPM Ahmad Zahid | Pelabur antarabangsa papar keyakinan tinggi terhadap kedudukan kewangan Malaysia -- Amir Hamzah | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Seiring Prestasi Kebanyakan Pasaran Serantau

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatat dagangan rendah setakat tengah hari ini susulan aktiviti pengambilan untung yang berterusan di tengah-tengah tekanan jualan.

Prestasi itu, kata penganalisis, seiringan dengan kebanyakan pasaran serantau susulan kebimbangan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.09 mata kepada 1,739.08 berbanding paras 1,748.17 yang dicatatkan pada akhir dagangan semalam.

Ad Banner

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.48 mata kepada 1,749.65, sekali gus menjadikannya paras tertinggi ketika sesi dagangan pagi sebelum susut kemudiannya menjelang rehat tengah hari.

Sentimen pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 515 berbanding 441 manakala 526 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,261 tidak diniagakan dan 13 lan digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.76 bilion unit bernilai RM1.26 bilion.  

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan langkah Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat (FCC) yang dilaporkan sedang merangka sekatan terhadap peranti transceiver atau pemancar-penerima optik buatan China bagi melindungi infrastruktur utama AI, akan mempercepatkan lagi peralihan rantaian bekalan “China+1” ke arah syarikat teknologi Malaysia seperti NationGate dan Inari Amertron.

Menurut firma pembrokeran itu, NationGate dijangka menerima jumlah tempahan lebih tinggi berikutan hubungan pembuatan yang kukuh dengan syarikat rangkaian optik Amerika Syarikat, Coherent manakala Inari Amertron dijangka meraih permintaan lebih tinggi bagi pembungkusan cip menerusi kerjasama rapatnya dengan Broadcom apabila syarikat teknologi global mengalihkan tempahan keluar dari China.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd mengunjurkan FBM KLCI menyaksikan aktiviti pengambilan untung sederhana selepas kenaikan baru-baru ini apabila pelabur menunggu perkembangan lanjut mengenai perjanjian sementara antara Amerika Syarikat dan Iran berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz serta musim pengumuman pelaporan prestasi kewangan bagi Ogos.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM10.80, Public Bank dan Tenaga Nasional susut enam sen kepada RM5.21 dan RM14.60, CIMB Group berkurangan lima sen kepada RM7.96 manakala IHH Healthcare menokok dua sen kepada RM8.34. 

Saham paling aktif menyaksikan JCY International naik lima sen kepada 46 sen, Tanco meningkat setengah sen kepada 26 sen, Zetrix AI menokok tiga sen kepada 72 sen manakala VS Industry susut  satu sen kepada 23 sen dan Steel Hawk merosot tiga sen kepada 15 sen. 

Bagi kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries mendahului dengan menokok 70 sen kepada RM47.64, UWC naik 28 sen kepada RM6.76 manakala Vitrox Corp dan Theta Edge masing-masing menambah 14 sen kepada RM9.24 dan 69 sen.

Sebaliknya bagi kaunter paling rugi, Nestle (M) merosot 60 sen kepada RM101.90, Press Metal Aluminium turun 25 sen kepada RM8.06, BLD Plantation berkurangan 20 sen kepada RM14.80 dan United Plantations susut 18 sen kepada RM34.22.

Selain itu, bagi indeks pula, Indeks FBM Emas susut 43.18 mata kepada 12,859.32, Indeks FBM Top 100 merosot 46.21 mata kepada 12,690.73 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 21.51 mata kepada 12,711.12 namun Indeks FBM Mid 70 meningkat 19.18 mata kepada 18,297.15 dan Indeks FBM ACE naik 4.34 mata kepada 5,043.60.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 94.61 mata kepada 20,474.55, Indeks Perladangan turun 16.22 mata kepada 9,494.48, Indeks Tenaga berkurangan 5.14 mata kepada 759.09 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 1.93 mata kepada 188.31.

-- BERNAMA