Ringgit Ditutup Kekal Mengukuh Berbanding Dolar AS Menjelang Pengumuman Data Gaji
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan kekal mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) walaupun momentumnya dikekang peningkatan dolar AS ketika pelabur berhati-hati menjelang pengumuman data gaji bukan perladangan (NFP) yang menjadi tumpuan pelabur, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu diniagakan lebih tinggi pada paras 4.0875/0920 berbanding dolar AS daripada 4.0920/0960 pada akhir sesi semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diniagakan dalam julat kecil antara 4.0872 hingga 4.0933 sepanjang sesi hari ini yang turut menunjukkan sentimen pasaran kekal berhati-hati.
“Dolar AS terus mendapat sokongan apabila jangkaan kenaikan kadar faedah negara maju itu terus wujud pada masa ini dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.09 peratus kepada 99.762 mata,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata peserta pasaran kini menumpukan laporan NFP AS bagi Julai yang dijangka memberi petunjuk baharu mengenai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Mengikut jangkaan awal, ekonomi AS dijangka mewujudkan 88,000 pekerjaan pada Julai yang meningkat daripada 57,000 pada Jun manakala kadar pengangguran diunjur tidak berubah pada 4.2 peratus.
Sewaktu urus niaga ditutup hari ini, ringgit turut diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5892/5922 daripada 2.5940/5967 semalam, naik berbanding euro kepada 4.7162/7213 daripada 4.7222/7268 serta tinggi berbanding pound Britain kepada 5.4997/5058 daripada 5.5107/5161.
Selain itu, ringgit juga kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang serantau.
Ini termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1881/1919 daripada 3.1916/1950 namun susut berbanding baht Thailand kepada 12.3628/3801 daripada 12.3216/3381, sebelum ini.
Ringgit turut meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 228.0/228.4 daripada 228.1/228.5 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.73 daripada 6.73/6.74 pada akhir urus niaga.
-- BERNAMA