BERITA TERKINI   RCI TH: Semakan dan siasatan dilaksanakan secara profesional, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang percukaian - LHDN | RCI TH: Siasatan dimulakan terhadap individu yang dikenal pasti dalam laporan - LHDN | Dua maut, 15 cedera dalam kejadian tembakan di sekolah berhampiran Bangkok pada Jumaat - Kementerian Dalam Negeri | Tujuh projek bernilai RM1.139 bilion sedang dilaksanakan di Hospital Sultanah Aminah-- Akmal Nasrullah | 613 program, projek pembangunan dilaksana di Johor sejak tahun 2000 dengan nilai keseluruhan RM56.12 bilion - Akmal Nasrullah | 

Perbadanan Labuan Tawar Lima Aset Strategik Untuk Pajakan, Pembangunan

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 7 Ogos (Bernama) -- Kelab Golf Antarabangsa Labuan (LIGC) 18-lubang yang pernah menganjurkan kejohanan Golf Profesional Malaysia (PGM) yang diiktiraf oleh Asian Development Tour (ADT) merupakan antara lima aset strategik yang ditawarkan oleh Perbadanan Labuan untuk pajakan dan pembangunan.

Kelab golf itu mempunyai lapangan sasar 16 ruang praktis, green chipping dan putting, serta bunker latihan, dan berfungsi sebagai padang latihan dan destinasi kem untuk pemain golf profesional muda dan delegasi golf dari Korea Selatan.

Ad Banner

Antara pemain terkemuka yang pernah berlatih di sini ialah pemain golf Persatuan Golf Profesional Wanita Korea (KLPGA), Seon Woo Bae.

Selain menjadi tuan rumah bagi liga golf profesional utama, LIGC juga berfungsi sebagai padang latihan serantau dan kerap menganjurkan kejohanan korporat tempatan dan jemputan peringkat negeri.

Aset lain yang ditawarkan ialah pulau pelancongan popular seluas enam ekar di Pulau Rusukan Besar, bekas tapak Hotel Labuan seluas 1.189 ekar susulan perobohan bangunan hotel baru-baru ini, sebidang tanah di Jalan Dewan dan sebidang lagi di Jalan Tuanku Sharif Kedah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail berkata pemajakan itu selaras dengan usaha untuk meningkatkan pembangunan ekonomi Labuan demi menfaat pulau tersebut dan penduduknya.

“Kami mempelawa bakal pembida yang mempunyai pengalaman berkaitan, keupayaan kewangan yang kukuh dan cadangan pembangunan yang sesuai untuk menyertai proses pajakan ini.

“Aset strategik ini mempunyai potensi pembangunan yang besar dan penggunaan optimumnya dijangka dapat merangsang aktiviti ekonomi baharu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang Labuan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rithuan berkata syarikat swasta tempatan dan antarabangsa yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dipelawa untuk mengemukakan cadangan pembangunan melalui pajakan, penswastaan ​​atau bentuk kerjasama pembangunan lain yang sesuai.

Katanya pembangunan yang dicadangkan perlu sejajar dengan objektif pembangunan Perbadanan Labuan dan memberi sumbangan positif kepada ekonomi, sektor pelancongan dan penduduk pulau itu.

Syarikat yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan dan terma rujukan daripada Pejabat Unit Pelaburan di Menara Perbadanan Labuan atau memuat turunnya daripada laman web rasmi Perbadanan Labuan.

Tempoh permohonan yang mula dibuka pada 4 Ogos akan ditutup pada 4 September 2026.

Sesi taklimat dan lawatan tapak boleh diatur pada bila-bila masa yang dipersetujui bersama antara perbadanan dan bakal pembida.

Rithuan berkata Perbadanan Labuan tidak terikat untuk menerima sebarang cadangan dan tidak akan bertanggungjawab ke atas kos yang ditanggung oleh pembida dalam mengemukakan cadangan mereka.

-- BERNAMA