Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini, menjejaki niaga hadapan minyak kacang soya yang lebih lemah di Chicago Mercantile Exchange (CME).
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata kejatuhan dalam harga minyak mentah turut menjejaskan sentimen pasaran. Pada paras semasa, harga minyak mentah Brent turun 2.56 peratus kepada US$101.15 setong.
“Oleh itu, kami melihat harga disokong melebihi RM4,800 satu tan dan rintangan pada RM4,950 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata sentimen pasaran yang tidak memberangsangkan, asas yang lemah dan sokongan pasaran luar yang semakin pudar telah mengekalkan tekanan jualan dalam niaga hadapan MSM.
“Pengeluaran minyak sawit September dijangka melonjak secara meluas manakala eksport berkemungkinan merosot, sekali gus meningkatkan prospek stok minyak sawit yang lebih tinggi sekali lagi,” katanya.
Pada penutup, kontrak Oktober 2026 turun RM10 kepada RM4,688 satu tan, manakala November 2026 susut RM21 kepada RM4,779 satu tan dan Disember 2026 kehilangan RM41 kepada RM4,857 satu tan.
Sementara itu, Januari 2027 berkurangan sebanyak RM54 kepada RM4,929 satu tan, Februari 2027 merosot RM62 kepada RM4,992 satu tan dan Mac 2027 menguncup RM69 kepada RM5,044 satu tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 87,334 lot berbanding 122,261 yang dicatatkan pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 418,306 kontrak daripada 339,480 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi September Selatan meningkat RM50 kepada RM4,700 satu tan.
-- BERNAMA