Unit Frontken Peroleh Tanah Perindustrian, Bangunan Kilang Di Taiwan Bernilai RM118.16 Juta
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik Frontken Corporation Bhd (Frontken), Ares Green Technology Corporation (Ares Green) memperoleh tanah perindustrian dan bangunan kilang di Bandar Tainan, Taiwan daripada Ginwin Technology Co Ltd (Ginwin Technology) pada harga RM118.16 juta.
Ginwin Technology ialah anak syarikat 53.45 peratus milik Enlight Corporation, iaitu syarikat yang berpangkalan di Taiwan.
Menurut Frontken, hartanah itu ketika ini digunakan sebagai kemudahan kitar semula penapis warna paparan kristal cecair transistor filem nipis (TFT-LCD).
Pada masa sama, tanah perindustrian seluas 16,172 meter persegi itu turut menempatkan tujuh bangunan kilang.
“Pengambilalihan ini dijangka selesai menjelang suku keempat 2026,” menurut syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Tambah Frontken lagi, Ares Green menjangkakan untuk memulakan fasa pertama pembinaan barisan pengeluaran baharu pada separuh pertama 2027 dengan anggaran pelaburan kira-kira NT$620 juta (RM79.6 juta).
“Fasa pertama pembinaan itu dijangka mengambil masa kira-kira satu hingga 1.5 tahun, dan Ares Green berhasrat untuk melaksanakan fasa seterusnya secara berperingkat, dengan mengambil kira keperluan perniagaan serta permintaan pengguna,” tambahnya.
-- BERNAMA