MATRADE Galak Usahawan Sabah Manfaatkan INSP MIHAS Bagi Tembusi Pasaran Gobal
Oleh Rohana Nasrah
KOTA KINABALU, 7 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggalakkan usahawan Sabah menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 dan mendaftar dalam Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang dianjurkan bersempena pameran itu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE Mansor Shah Wahid berkata INSP pada tahun ini akan dianjurkan secara hibrid dengan komponen maya akan memanfaatkan platform MADANI Digital Trade (MDT) yang telah dilancarkan pada Mac tahun lepas.
“Platform ini terbuka kepada semua ahli MATRADE. Oleh itu, kami menggalakkan supaya lebih ramai usahawan Sabah untuk mendaftar sebagai ahli bagi menggunakan kemudahan ini sekali gus mendapat pelbagai manfaat termasuk padanan perniagaan, pasaran digital, risikan pasaran, permohonan geran dan akses pasaran.
“Usahawan juga boleh menyertai sesi padanan perniagaan bersama pembeli antarabangsa yang berpotensi melalui INSP yang dianjurkan bersempena MIHAS dengan mendaftar bagi menyertai INSP secara maya melalui platform MDT,” katanya kepada Bernama.
Setakat ini, lebih 5,500 syarikat daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, kosmetik, farmaseutikal serta logistik telah berdaftar di platform tersebut.
Mansor berkata penganjuran INSP secara maya menerusi platform MDT berupaya membuka ruang pasaran lebih luas kepada usahawan Sabah untuk mendapat akses terus kepada pembeli antarabangsa.
Beliau berkata pendekatan itu diyakini mampu menjadi anjakan paradigma kepada syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negeri ini untuk meneroka, dan seterusnya memperluas capaian ke pasaran eksport menerusi platform yang lebih mudah, cekap dan efektif.
Menurut beliau, penganjuran INSP secara maya melalui platform ini juga membolehkan usahawan tempatan melihat senarai pembeli berpotensi serta mengenal pasti rakan niaga bersesuaian bagi memulakan padanan perniagaan secara dalam talian sebelum INSP fizikal dijadualkan berlangsung pada 23 September ini.
“Urusan seperti prapesanan sudah boleh dilakukan lebih awal dan apabila pameran MIHAS berlangsung, hanya bertemu secara bersemuka dengan pembeli tersebut bagi melihat sampel, pembungkusan dan persetujuan harga,” katanya.
Mansor berkata Sabah mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri menerusi produk berasaskan hasil pertanian, makanan laut dan makanan bernilai tambah seperti halia Tambunan, serunding tuhau serta sarang burung walit berikutan tren pengguna kini lebih mengutamakan produk organik, sihat dan lestari.
Justeru, katanya, usahawan tempatan di negeri ini perlu memanfaatkan platform seperti MIHAS bagi memastikan keunikan setiap produk yang dihasilkan dapat dipromosikan kepada pembeli antarabangsa dan pasaran global sekali gus dapat meningkatkan potensi eksport dan memperluas jaringan perniagaan.
Beliau berkata ini adalah peluang yang perlu direbut oleh usahawan Sabah untuk kekal berdaya saing di peringkat global menerusi pameran MIHAS.
MATRADE secara proaktif telah menghimpunkan pembeli premium, pengimport dan pengedar antarabangsa daripada pelbagai benua di bawah satu bumbung di MIHAS bagi memudahkan proses transaksi eksport antara usahawan tempatan dan syarikat luar.
“Pada edisi MIHAS tahun ini, MATRADE akan membawa 300 pembeli termasuk 50 pembeli premium,” katanya sambil memaklumkan INSP membolehkan usahawan Sabah membina jaringan perniagaan secara terus tanpa perlu mengeluarkan kos tinggi untuk menyertai misi perdagangan di luar negara.
Beliau berkata sebanyak tujuh syarikat dari Sabah menyertai program INSP dengan menjana jumlah jualan melebihi RM17 juta pada penganjuran MIHAS tahun lepas.
INSP MIHAS tahun ini memfokuskan kepada pembukaan pasaran baharu seperti Algeria, Kongo, Kazakhstan, Mali, Ghana, Norway, Costa Rica dan Turkmenistan selain melebarkan capaian ke rantau Afrika, Asia Tengah dan Amerika Latin.
Langkah ini sekali gus memperlihatkan bahawa tumpuan MIHAS bukan sahaja kepada pasaran tradisional malah turut memperkukuh peluang dagangan halal di pasaran sedang berkembang.
Mengulas lanjut, Mansor berkata edisi ke-22 MIHAS bertemakan ‘Membentuk Kepercayaan, Memacu Daya Tahan’ dijadual berlangsung pada 23 hingga 26 Sept 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Katanya MIHAS antara lain akan menampilkan inisiatif “Women in Export” bagi memperkasakan perniagaan yang dimiliki dan diterajui wanita untuk mengembangkan pasaran mereka ke peringkat global dalam ekonomi halal.
Selain itu, penganjuran komponen “Hosted Buyer Programme” turut diteruskan bagi memudahkan syarikat antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran di rantau ASEAN serta berpeluang bertemu pengimport tempatan.
MIHAS bukan sekadar pameran perdagangan halal, tetapi ia turut menjadi platform strategik untuk mengembangkan perniagaan halal ke peringkat global, yang sehingga kini menjana lebih RM30 bilion dalam jualan eksport.
Pameran itu juga menarik lebih 10,000 pemain industri halal dari dalam dan luar negara serta menarik lebih 500,000 pengunjung perdagangan sejak dianjurkan pada 2004.
-- BERNAMA