GLIC Salur RM20.3 Bilion Di Bawah Inisiatif GEAR-uP Pada 2025, Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memperuntuk dan menyalurkan sebanyak RM20.3 bilion di dalam negara pada 2025 menerusi Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), yang melangkah ke tahun ketiganya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah pelaburan itu hampir tiga kali ganda berbanding RM6.6 bilion pada 2024, dengan momentum berterusan hingga ke suku pertama 2026.
"Ini (GEAR-uP) bukan modal yang mencari pulangan pasif semata-mata. Ini ialah kekayaan yang digembleng dengan tujuan yang jelas untuk negara.
“Kita baru melangkah ke tahun ketiga perjalanan ini. Banyak yang telah dicapai, namun masih banyak yang perlu dilakukan," kata Anwar dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP Kementerian Kewangan (MoF) yang dikeluarkan hari ini.
GEAR-uP yang diterajui MoF dilancarkan pada 2024 untuk tujuan pelaburan berjumlah RM120.0 billion secara langsung di dalam negara antara tempoh 2024 hingga 2028 tertumpu kepada industri yang akan membentuk fasa pertumbuhan Malaysia yang seterusnya.
Program ini dilaksanakan enam GLIC iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Malaysia Bhd (PNB), Kumpulan Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Khazanah Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Perdana Menteri berkata dengan program itu, Malaysia telah membuat pilihan yang jelas iaitu melabur demi kestabilan, memperkukuh daya tahan dari dalam, dan memastikan hasil pertumbuhan dirasai rakyat Malaysia, di tengah-tengah persekitaran luaran yang terus berubah disebabkan oleh ketidaktentuan global.
"Jika kita terus istiqamah pada landasan ini, Insya-Allah, Malaysia mampu membina masa depan yang lebih bermaruah, adil dan sejahtera untuk semua," kata Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan.
GEAR-uP teruskan kemajuan
Inisiatif itu diteruskan menerusi pelaburan pusat data Google di Selangor, disokong KWAP, yang menambah kapasiti sebanyak 320 MW dengan jangkaan 26,500 peluang pekerjaan bagi 2026 dan 2027, disamping pembangunan berfasa oleh Empyrion Digital di Johor.
Dari aspek perusahaan dan pasaran modal, dana GLIC seperti Dana Impak, Dana Perintis, Dana Pemacu dan Ekuinas membimbing lebih banyak syarikat berkembang daripada peringkat modal teroka ke peringkat pertumbuhan, dan Dana Ciptawan Khazanah menambah RM200 juta lagi khusus untuk perusahaan Bumiputera dan syarikat pertengahan.
Menurut laporan itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berada di landasan kukuh untuk meningkatkan nilai pasaran sebanyak RM100 bilion menjelang 2028, dengan inisiatif MY Value Up kini meluaskan pengaruhnya kepada 88 syarikat tersenarai terbesar negara.
Sasaran modal pasaran sebanyak RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030 di bawah Pelan Induk Pasaran Modal ditentukan oleh kemampanan beberapa perancangan.
Antara lain, pelaburan grid Tenaga Nasional Bhd (TNB) diteruskan di bawah Tempoh Kawal Selia 4, meningkat daripada RM12.0 billion pada 2025 kepada unjuran RM15.0 bilion pada 2027, ketika negara berusaha mencapai sasaran 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.
Malaysia Airports meneruskan program pemodenan lima tahun bernilai RM1 bilion dengan perancangan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disasarkan mencecah 100 juta penumpang setahun.
Bagi agenda meningkatkan kekayaan dan taraf hidup Bumiputera, laporan itu memaklumkan sepuluh syarikat disasarkan untuk penyenaraian sepanjang tempoh 2026 hingga 2027. Pada masa yang sama, usaha ini turut didorong oleh Program 10 Juara Bumiputera yang berperanan memperbesar skala perniagaan syarikat Bumiputera.
Zakat Wakalah pula disasarkan melonjak kepada RM100 juta pada 2026, meningkat daripada RM28 juta pada tahun sebelumnya.
Gaji saksama, modal terus berkembang
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata GEAR-uP diwujudkan untuuk memastikan modal Malaysia bukan sekadar singgah, tetapi terus berkembang dan mencipta nilai berkekalan untuk negara.
"Pada 2025, modal yang diperuntukkan dan disalurkan hampir tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya, manakala portfolio syarikat mencatatkan pulangan keseluruhan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.
"Apa yang lebih penting daripada angka itu ialah manfaat yang dirasai rakyat. Pelaburan hanya membawa kemakmuran apabila ia mewujudkan pekerjaan berkualiti, pendapatan saksama dan peluang untuk rakyat maju," kata Amir Hamzah.
Katanya, kejayaan program ini diukur bukan sahaja melalui jumlah pelaburan yang disalurkan, tetapi juga melalui gaji kehidupan wajar, penempatan graduan, pertumbuhan syarikat Bumiputera dan rantaian bekalan yang bertapak kukuh di Malaysia.
Menurut laporan itu, walaupun persekitaran luar terus berubah akibat ketidaktentuan global serta penjajaran semula ekonomi dan perdagangan, Ekonomi MADANI kekal sebagai kompas utama, iaitu kerangka ekonomi yang Menaikkan Siling dan Lantai secara serentak.
"Keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya saing mendepani pergolakan luar merupakan hasil langsung daripada langkah pembaharuan awal yang dilaksanakan pada 2023.
"Hala tuju GEAR-uP telah dimuktamadkan sejak awal lagi pada 2024. Segala usaha selepas itu tertumpu sepenuhnya kepada pelaksanaan dan penyampaian hasil," menurut laporan itu sambil menambah tempoh tiga tahun akan datang dijangka membawa perkembangan bermakna yang amat dinantikan.
Laporan itu memaklumkan peranan GEAR-uP sentiasa terarah kepada usaha menterjemah modal yang ditarik ke Malaysia kepada keupayaan jangka panjang yang merangkumi pembentukan ekosistem tempatan yang berdaya tahan, pengukuhan syarikat tempatan ke tahap bertaraf dunia serta penyaluran modal yang dapat dirasai oleh rakyat, rantaian bekalan yang lebih berdaya saing dan pekerjaan bernilai tinggi.
“Ukuran sebenar kejayaan ekonomi bukan terletak pada jumlah pelaburan semata-mata, tetapi pada hasil nyata yang dibina dan impak yang dirasai oleh masyarakat secara menyeluruh.
"GLIC dan GLC komited untuk kekal berada di landasan ini dengan meneruskan penyaluran modal, memacu sasaran yang diberikan dan memastikan setiap inisiatif bertapak kukuh serta membuahkan hasil," menurut laporan itu.
-- BERNAMA
KI2 KI2 ZK