GLIC Salur RM7.15 Bilion Pacu Ekonomi Berteraskan 'Ciptaan Malaysia'
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menyalurkan modal jangka panjang berjumlah RM7.158 bilion bagi memperkukuh industri berteraskan ciptaan Malaysia, sekali gus membolehkan syarikat tempatan beralih kepada segmen bernilai tinggi dalam rantaian nilai global dan tidak lagi tertumpu kepada aktiviti pemasangan semata-mata.
Pelaburan itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kompleksiti ekonomi menerusi Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF).
"Pelaburan ini tertumpu kepada dua bidang utama, iaitu penghasilan output bernilai tinggi serta pembangunan infrastruktur yang membolehkan operasi berskala besar," menurut MOF dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang diterbitkan hari ini.
Pada 2025, sektor teknologi termaju dan semikonduktor menerima pelaburan RM3.2 bilion, termasuk RM1.4 bilion yang diperuntukkan dan disalurkan oleh GLIC bagi membantu industri tempatan beralih daripada aktiviti pengujian dan pembungkusan kepada segmen rantaian nilai lebih tinggi berasaskan pembangunan harta intelek.
Selain itu, RM1.8 bilion diperuntukkan dan disalurkan bagi membangunkan pusat data hiperskala serta hab logistik berautomasi di koridor perindustrian utama negara.
Menurut laporan itu, kemudahan berkenaan menyediakan kapasiti pengkomputeran dan rantaian bekalan asas yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan sektor pembuatan bernilai tinggi.
Dalam pada itu, GLIC turut memperuntukkan RM270 juta bagi menyokong peralihan tenaga, RM1.3 bilion untuk memperkasa syarikat bumiputera, RM588 juta bagi membangunkan ekosistem modal teroka dan syarikat pemula, serta RM1.8 bilion untuk mengembangkan syarikat peringkat pertengahan.
GEAR-uP yang dilancarkan pada 2024 menyasarkan peruntukan dan penyaluran pelaburan berjumlah RM120 bilion dalam tempoh lima tahun bagi memacu reformasi sosioekonomi serta mempercepat transformasi perindustrian Malaysia.
Program itu diterajui enam GLIC utama, iaitu Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
-- BERNAMA