BERITA TERKINI   Selain penyediaan dana oleh GLC dan GLIC, syarikat pertengahan diperkasa melalui pembangunan kapasiti, pementoran dan akses pembiayaan - Amir Hamzah | Malaysia tidak perlu wujudkan dana pelaburan baharu, sebaliknya perkukuh hubungan antara ekosistem pembiayaan sedia ada - Amir Hamzah | PM Anwar minta pengurusan Felda kemuka laporan terhadap cadangan penjualan hotel milik agensi itu yang merugikan | Kerajaan terus ikhtiar tingkat peruntukan sektor pertahanan dalam Belanjawan 2027, perkasa kesiapsiagaan ATM - PM Anwar | Kaedah baharu proses kenaikan pangkat warga ATM, PDRM dijangka diumum pada sambutan Ambang Merdeka 30 Ogos ini - PM Anwar | 

GLC, GLIC Pacu Pertumbuhan Bumiputera Melalui Perolehan RM49 Bilion, Inisiatif Bina Kekayaan

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) secara bersepadu membangunkan syarikat Bumiputera melalui perolehan, modal pertumbuhan, penyenaraian awam dan inisiatif pembinaan keupayaan di bawah agenda GEAR-uP kerajaan.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini, GLC dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyalurkan perbelanjaan perolehan sebanyak RM49.0 bilion kepada perniagaan Bumiputera pada 2025, disokong oleh Program Pembangunan Vendor yang menggabungkan peluang dengan pembangunan keupayaan.

Menurutnya cabang ekuiti persendirian Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) memacu pertumbuhan menerusi modal pertumbuhan manakala Program 10 Juara Bumiputera menyediakan sokongan penciptaan nilai dan pembinaan kapasiti yang tersusun bagi membantu syarikat berpotensi tinggi mencapai penilaian antara RM300 juta hingga RM500 juta setiap satu.

Ad Banner

Khazanah Nasional Bhd juga akan melancarkan Dana Ciptawan bernilai RM200 juta bagi menyediakan modal pertumbuhan untuk syarikat Bumiputera yang lebih besar serta syarikat peringkat pertengahan Malaysia yang lain.

Laporan itu memaklumkan GLIC mengukuhkan lagi perjalanan ini menerusi penyenaraian awam di pasaran utama, dengan kejayaan tawaran awam permulaan (IPO) Orkim Bhd yang disokong PNB pada 2025, menandakan pencapaian utama pertama bagi larian berganti Bumiputera, di samping empat penyenaraian akan datang dan sasaran 10 penyenaraian menjelang 2028.

GLC turut melaksanakan program pembangunan keupayaan merangkumi pengurusan perniagaan dan pensijilan industri.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MOF memaklumkan antara contoh utama ialah UEM Group Bhd bersama anak-anak syarikatnya menganugerahkan lebih RM5.5 bilion perolehan kepada vendor Bumiputera bagi tempoh 2023-2025, termasuk 90 peratus perolehan PLUS Malaysia Bhd dan 49 peratus perolehan UEM Edgenta Bhd.

Komitmen ini memanfaatkan lebih 5,000 perusahaan dan membuka akses kepada projek infrastruktur bernilai tinggi.

Laporan itu juga memaklumkan bahawa GLIC dan GLC turut meningkatkan taraf hidup isi rumah Bumiputera melalui inisiatif pendidikan, simpanan dan sosial.

Menurut MOF, GLIC dan GLC menaja secara purata 6,460 penerima biasiswa Bumiputera setiap tahun serta memperkasakan bakat melalui latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan pentaulihan sijil.

Usaha untuk komuniti juga diteruskan dengan Lembaga Tabung Haji (TH) menguruskan perjalanan 31,600 jemaah haji pada 2025 manakala zakat GLC berjumlah RM203 juta disalurkan kepada keluarga asnaf melalui bantuan kebajikan, pendidikan dan perusahaan mikro.

Sementara itu, memandangkan lebih 70 peratus pemegang unit adalah kumpulan berpendapatan B40 dan M40, pengurusan kekayaan oleh GLIC menjadi sebagai benteng utama mendepani kos sara hidup.

Amanah Saham Bumiputera (ASB) memberikan pulangan yang kompetitif kepada 11 juta pemegang unit melalui amanah saham berharga tetap, TH melabur bagi membantu umat Islam di Malaysia untuk mengerjakan haji manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pula menyediakan jaminan persaraan bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, inisiatif Celik MADANI PNB menyasarkan 200,000 pelajar pengajian tinggi setiap tahun dari 2025 hingga 2030, dengan menyediakan modal permulaan sebanyak RM50 untuk memulakan portfolio pelaburan mereka.

Menurut laporan itu, pendedahan awal ini membentuk golongan muda menjadi Generasi Labur yang baharu, sekali gus menyemai tabiat menyimpan secara konsisten sebelum mereka menempuh alam pekerjaan.

Seiring dengan prestasi pertumbuhan sejarah ASB, usaha bersepadu ini bertindak sebagai pelan nyata bagi memacu pengumpulan kekayaan jangka panjang Bumiputera di Malaysia.

-- BERNAMA