BERITA TERKINI   Selain penyediaan dana oleh GLC dan GLIC, syarikat pertengahan diperkasa melalui pembangunan kapasiti, pementoran dan akses pembiayaan - Amir Hamzah | Malaysia tidak perlu wujudkan dana pelaburan baharu, sebaliknya perkukuh hubungan antara ekosistem pembiayaan sedia ada - Amir Hamzah | PM Anwar minta pengurusan Felda kemuka laporan terhadap cadangan penjualan hotel milik agensi itu yang merugikan | Kerajaan terus ikhtiar tingkat peruntukan sektor pertahanan dalam Belanjawan 2027, perkasa kesiapsiagaan ATM - PM Anwar | Kaedah baharu proses kenaikan pangkat warga ATM, PDRM dijangka diumum pada sambutan Ambang Merdeka 30 Ogos ini - PM Anwar | 

Program GEAR-uP Beri Impak Lebih Besar Kepada Rakyat Pada 2026, 2027 -- MOF

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Malaysia bakal menyaksikan impak lebih besar daripada pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) apabila komitmen berjumlah RM120.0 bilion terus disalurkan dengan pelbagai inisiatif berkaitan sedang dipercepat bagi 2026 dan 2027.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini memaklumkan, ini termasuk aspek pelaburan dalam keutamaan negara dan kesejahteraan rakyat, pelaksanaan gaji kehidupan wajar oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan terus meningkatkan kualiti hidup.

“Memandangkan sebahagian besar daripada komitmen RM120.0 bilion masih belum disalurkan, keutamaan untuk tempoh dua tahun (2026 dan 2027) akan datang ini adalah mengekalkan momentum serta memastikan pelaksanaannya disempurnakan agar manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat dan merentas generasi. 

Ad Banner

"Inilah tanggungjawab dan agenda utama yang perlu kita jayakan,” menurutnya.

MOF memaklumkan, antara impak awal itu adalah menerusi peruntukan RM1.4 bilion yang telah disalurkan bagi meningkatkan rantaian nilai semikonduktor Malaysia pada 2025, di samping RM1.8 bilion untuk memperkukuh infrastruktur digital dan logistik negara.

Sejumlah RM588 juta diperuntukkan dan disalurkan untuk membangunkan saluran modal teroka pada tahun berkenaan dengan sekurang-kurangnya 130 syarikat pemula Malaysia disokong oleh GLIC sejak 2022.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, RM1.8 bilion dalam bentuk modal pertumbuhan juga diperuntukkan dan disalurkan untuk membantu mengembangkan syarikat peringkat pertengahan pada 2025.

Dalam memacu agenda utama negara, MOF memaklumkan sejumlah  RM12.0 bilion telah dibelanjakan untuk memperkukuh grid nasional pada 2025 yang merupakan sebahagian daripada RM42.8 bilion dalam perbelanjaan modal dikawal selia yang dirancang bagi tempoh 2025-2027.

Selain itu, RM600 juta telah diperuntukkan bagi projek pemulihan warisan di bawah Dana Warisan Khazanah.

Bukan setakat itu, GLIC dan GLC turut mempersiap tenaga kerja Malaysia menghadapi masa depan dengan purata 7,526 penerima biasiswa mendapat tajaan setiap tahun bagi tempoh  antara 2020 dan 2025 dengan 88 peratus daripada kalangan isi rumah berpendapatan rendah hingga sederhana manakala 9,934 belia ditempatkan dalam program latihan TVET K-Youth Khazanah pada 2025.

GLIC dan GLC juga, menurut MOF, membelanjakan RM641 juta bagi memperkukuh kelangsungan hidup dan kesejahteraan komuniti di seluruh Malaysia pada 2025 iaitu peningkatan 20 peratus daripada 2024 dan menjadikan perbelanjaan terkumpul sejak 2021 meningkat kepada RM2.6 bilion.

Setakat 2025, sebanyak 399 sekolah dan kampung telah dijadikan sekolah dan kampung angkat GLIC dan GLC di bawah program Santuni MADANI dan Sekolah Angkat MADANI.

Dalam pada itu, sebanyak 189,817 pekerja tetap warganegara Malaysia dalam GLIC dan GLC telah menerima gaji kehidupan wajar yang mewakili 91.7 peratus daripada keseluruhan 206,987 pekerja tetap Malaysia, menurut kementerian itu.

-- BERNAMA