Rizab Antarabangsa BNM Meningkat Kepada US$132.1 Bilion Pada 31 Julai
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$132.1 bilion pada 31 Julai 2026 daripada US$131.8 bilion yang dicatatkan semasa 15 Julai lepas.
Bank pusat itu melalui satu kenyataan hari ini berkata kedudukan rizab itu mencukupi untuk membiayai 4.7 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Komponen utama rizab antarabangsa merangkumi rizab mata wang asing US$116.8 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak US$1.3 bilion, Hak Pengeluaran Khas (SDR) yang bernilai US$6.0 bilion), emas US$5.8 bilion dan aset rizab lain dalam jumlah US$2.2 bilion.
Bank pusat itu berkata jumlah asetnya mencecah paras RM636.51 bilion pada 31 Julai 2026, terdiri daripada RM535.12 bilion dalam emas, aset kewangan asing, rizab lain dan SDR, RM12.68 bilion dalam kertas kerajaan Malaysia, RM1.50 bilion dalam deposit dengan institusi kewangan, RM20.83 bilion dalam pinjaman dan pendahuluan, RM4.54 bilion dalam hartanah dan peralatan serta RM61.84 bilion dalam aset lain.
Sementara itu, modal dan liabiliti BNM terdiri daripada modal RM100 juta, RM195.43 bilion dalam rizab dan RM183.05 bilion berbentuk mata wang dalam edaran.
Deposit oleh institusi kewangan berjumlah RM122.95 bilion, deposit kerajaan persekutuan pada RM8.26 bilion dan deposit lain RM85.49 bilion, manakala kertas Bank Negara berjumlah RM10.30 bilion, peruntukan SDR bernilai RM26.71 bilion dan liabiliti lain pada RM4.21 bilion.
BNM mengeluarkan data rizab antarabangsanya setiap dua minggu
-- BERNAMA