Kenanga IB: Belanjawan 2027 Harus Sokong Pertumbuhan, Kekalkan Konsolidasi Fiskal
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Belanjawan 2027 seharusnya mengekalkan dasar perbelanjaan yang menyokong pertumbuhan selain mengekalkan konsolidasi fiskal secara bertahap, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Bank pelaburan berkenaan menyatakan perbelanjaan diunjurkan memberi tumpuan kepada kesejahteraan isi rumah, modal insan dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang lebih pantas.
“Perbelanjaan pembangunan (DE) perlu semakin disasarkan kepada bidang yang mempunyai kesan pengganda produktiviti dan pelaburan swasta yang lebih tinggi.
"Sasaran kesan pengganda berkenaan khususnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, kesalinghubungan, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga, keterjaminan makanan, penjagaan kesihatan, pendidikan serta perumahan mampu milik,” jelasnya dalam nota Tinjauan Ekonomi hari ini.
Kenanga IB menyatakan peruntukan DE berkemungkinan seiring dengan 10 keutamaan daripada konsultasi Pra-Belanjawan 2027.
Keutamaan yang dimaksudkan iaitu meningkatkan pendapatan, mengurus tekanan kos sara hidup, menambah baik perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, memperluas perumahan mampu milik, memperkukuh kesalinghubungan, mempercepat pendigitalan, meningkatkan keterjaminan makanan, menggalakkan pembangunan mampan dan memperkukuh tadbir urus.
Jelasnya, pembangunan infrastruktur dijangka terus menjadi antara penerima manfaat utama dengan mengambil kira kesan pengganda ekonominya serta peranannya dalam menarik pelaburan swasta.
Seiring dengan RMK13 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), DE perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem perindustrian Malaysia dan menarik pelaburan bernilai lebih tinggi.
Pendigitalan pula dijangka menjadi tumpuan utama dalam Belanjawan 2027 ketika Malaysia meneruskan momentum pelaburan kukuh dalam pusat data, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).
“Kami juga menjangkakan sokongan lanjut bagi inisiatif kecekapan tenaga, pembiayaan hijau dan integrasi tenaga boleh baharu yang akan membantu menarik pelaburan swasta.
“DE perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan produktiviti pertanian dan membina daya tahan dalam keseluruhan ekosistem makanan domestik.
"Antara inisiatif yang berpotensi termasuk menaik taraf sistem pengairan dan saliran serta penggunaan teknologi pertanian pintar, AI dan Internet Pelbagai Benda (IoT), mekanisasi, pertanian berketepatan tinggi serta penambahbaikan rantaian bekalan agromakanan,” jelasnya.
Sementara itu, selepas skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperluas pada 2025 dan 2026, Kenanga IB menjelaskan Belanjawan 2027 dijangka memberi tumpuan kepada pematuhan, penguatkuasaan dan kecekapan kutipan berbanding satu lagi peluasan secara besar-besaran.
Rangka kerja yang lebih menyeluruh itu perlu terus menyokong hasil cukai tidak langsung seiring dengan pendirian kerajaan untuk tidak memperkenal semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Sehubungan itu, menurutnya, Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada usaha menutup jurang liputan serta memperkukuh keupayaan audit.
“Peningkatan ketelusan transaksi seharusnya dapat mengurangkan ketirisan dari semasa ke semasa dan meningkatkan kutipan hasil cukai.
"Namun, kami melihat e-invois sebagai pemacu hasil bagi 2028 dan tahun-tahun seterusnya, bukannya pada 2027,” katanya, sambil menambah Belanjawan 2027 berkemungkinan memberikan gambaran awal mengenai pelaksanaan cukai minimum global (GMT).
Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober merupakan Belanjawan MADANI kelima dan tahun kedua pelaksanaan RMK13 dengan matlamat utama untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup isi rumah khususnya kumpulan M40 di tengah-tengah cabaran tenaga global.
-- BERNAMA