Pusat Data Pacu Pertumbuhan TNB Meskipun Berdepan Impak Surcaj Bahan Api - Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Pelaburan pusat data dijangka menjadi pemacu pertumbuhan baharu bagi Tenaga Nasional Bhd (TNB), dengan permintaan elektrik daripada sektor itu diunjurkan melebihi 8,000 megawatt (MW) menjelang 2035, bersamaan 30 peratus daripada keseluruhan kapasiti penjanaan elektrik Malaysia.

Bagaimanapun, TNB dijangka perlu menyerap kos surcaj bahan api dianggarkan antara RM120 juta hingga RM150 juta.

Dalam satu nota penyelidikan, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) berkata pihaknya menganggarkan sebanyak 700MW kapasiti pusat data akan mula beroperasi tahun ini.

Ad Banner

“Perkembangan ini dijangka terus meningkatkan pertumbuhan permintaan, sekali gus menambah baik kecekapan operasi dan meningkatkan pendapatan tidak dikawal selia TNB,” katanya.

Sementara itu, Kenanga IB kekal berhati-hati terhadap keperluan TNB menyerap kos surcaj bahan api susulan keputusan kerajaan menaikkan ambang penggunaan elektrik domestik bersubsidi kepada 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan daripada 600 kWj sehingga akhir 2026.

Katanya, kesan kewangan serta-merta daripada langkah itu masih boleh diurus, namun kebimbangan utama ialah kemungkinan berlaku kelewatan kawal selia sekiranya mekanisme penyaluran penuh kos di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) terus tertangguh.

Ad Banner

“Kami telah mengambil kira kesan pengecualian RM150 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026, yang mengakibatkan pengurangan dua peratus dalam unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2026, manakala anggaran tahun kewangan 2027 dikekalkan tanpa perubahan.

“Unjuran pertumbuhan permintaan elektrik bagi tahun kewangan 2026 dan tahun kewangan 2027 juga kekal masing-masing pada lima peratus dan 3.5 peratus,” katanya.

Justeru itu, Kenanga IB mengekalkan saranan ‘mengatasi pasaran’ terhadap saham TNB, disokong pendedahan jangka panjang syarikat itu kepada pertumbuhan sektor pusat data Malaysia.

-- BERNAMA