Malaysia Perlu Perkukuh Ekosistem Pembiayaan Bantu Syarikat Tempatan Berkembang -- Amir Hamzah
PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Malaysia tidak perlu mewujudkan dana pelaburan baharu sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan antara ekosistem pembiayaan sedia ada bagi membantu syarikat tempatan berkembang, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, cabaran utama ketika ini bukanlah kekurangan modal kerana negara kini mempunyai lebih RM2.2 trilion modal tersedia, namun aspek yang perlu diperkasa ialah penyelarasan dan hubungan antara pelbagai mekanisme pembiayaan supaya syarikat mempunyai laluan pertumbuhan yang jelas.
“Buat masa sekarang, saya rasa kita kena menekankan untuk meningkatkan lagi kesalinghubungan antara dana-dana ini kerana ‘pipeline’ (saluran) masih kecil lagi.
“Ia (dana) memang dah cukup, tetapi kadangkala orang tidak tahu mana nak pergi atau bagaimana nak mendapatkan pertolongan untuk meningkatkan daya saing yang ada,” katanya pada sidang media bersempena dengan penerbitan Laporan Kemajuan Program Pengaktifan dan Reformasi Perusahaan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata ekosistem pembiayaan perlu disusun secara lebih tersusun supaya syarikat tempatan dapat melalui setiap peringkat pertumbuhan dengan sokongan kewangan yang bersesuaian.
-- BERNAMA