Bursa Malaysia Ditutup Minggu Ini Dengan Prestasi Perlahan
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri urus niaga minggu ini dengan prestasi perlahan dipengaruhi aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan pasaran baru-baru ini, seiring dengan sentimen berhati-hati di pasaran serantau, kata penganalisis.
Pada 5 petang, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.08 peratus atau 1.40 mata kepada 1,735.75 daripada 1,737.15 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.93 mata lebih rendah pada 1,735.22 dan bergerak tidak menentu antara 1,729.34 hingga 1,739.14 sepanjang hari.
Bagi pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 581 berbanding 533 manakala 607 kaunter tidak berubah, 1,052 tidak diniagakan dan 21 digantung.
Jumlah dagangan berkembang kepada 3.55 bilion unit bernilai RM3.47 bilion daripada 3.24 bilion unit bernilai RM2.90 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks-indeks utama Asia ditutup bercampur-campur di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang kembali memuncak selepas kumpulan Houthi Yemen melancarkan serangan ke atas Arab Saudi.
Sementara itu, beliau memberitahu pihak berkuasa Arab Saudi memberi amaran berhubung kemungkinan serangan terancang oleh kumpulan Houthi dan kumpulan tentera Iraq yang disokong Iran.
"Ketidaktentuan yang makin meningkat melonjakkan harga minyak mentah Brent melepasi US$83 setong," katanya kepada Bernama.
Berlatarbelakangkan perkembangan ini, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur mengekalkan pendirian defensif walaupun belian terpilih dalam saham pembinaan dan utiliti membantu menyokong pasaran daripada merosot lebih jauh.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 12 sen kepada RM10.68, Public Bank berkurangan empat sen kepada RM5.19, CIMB Group dan IHH Healthcare masing-masing merosot tiga sen kepada RM7.94 dan RM8.30 manakala Tenaga Nasional berkurang lapan sen kepada RM14.40.
Dalam kalangan saham aktif, Perak Transit naik empat sen kepada 21.5 sen, Genetec Technology meningkat dua sen kepada 39 sen, HHRG menokok sedikit 1.5 sen kepada 12 sen dan Malaysian Resources Corp melonjak setengah sen kepada 34.5 sen manakala Zetrix AI susut satu sen kepada 70 sen.
Kuala Lumpur Kepong mendahului senarai kaunter paling untung, berkembang RM1.30 kepada RM22.90, Stratus Global Holdings menokok 58 sen kepada RM2.88, Tong Herr Resources meraih 49 sen kepada RM2.39, Allianz Malaysia meningkat 44 sen kepada RM21.52 dan YTL Power International mengukuh 32 sen kepada RM4.69.
Bagi senarai kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries susut 40 sen kepada RM47.26, Petronas Dagangan dan United Plantations masing-masing berkurangan 32 sen kepada RM19.24 dan RM33.88, manakala kedua-dua UWC dan Pentamaster Corp merosot 24 sen, masing-masing kepada RM6.55 dan RM5.47.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 21.77 mata kepada 12,834.25, Indeks FBM Top 100 berkurangan 25.08 mata kepada 12,660.20, Indeks FBM Emas Shariah susut 28.31 mata kepada 12,663.23, dan Indeks FBM Mid 70 merosot 99.54 mata kepada 18,226.52 manakala Indeks FBM ACE mengukuh 42.20 mata kepada 5,079.95.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurang 103.32 mata kepada 20,416.53 manakala Indeks Tenaga susut 4.02 mata kepada 758.39.
Secara perbandingan, Indeks Perladangan berkembang 76.53 mata kepada 9,541.08 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat sedikit 0.22 mata kepada 188.0.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 1.88 bilion unit bernilai RM3.13 bilion daripada 1.60 bilion unit bernilai RM2.58 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran berkembang kepada 1.16 bilion unit bernilai RM155.13 juta daripada 1.13 bilion unit bernilai RM146.50 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 511.75 juta unit bernilai RM180.17 juta daripada 498.42 juta unit bernilai RM175.55 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 270.23 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (293.72 juta), pembinaan (111.69 juta), teknologi (480.82 juta), perkhidmatan kewangan (75.77 juta), hartanah (229.76 juta), ladang (44.34 juta), amanah pelaburan hartanah (41.61 juta), dana tertutup (278,800), tenaga (74.47 juta), penjagaan kesihatan (73.41 juta), telekomunikasi dan media (34.32 juta), pengangkutan dan logistik (49.71 juta), utiliti (99.93 juta) dan amanah perniagaan (70,400).
-- BERNAMA