RS-2: Selangor Sasar Pendapatan Median Isi Rumah RM14,500
SHAH ALAM, 7 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan peningkatan pendapatan median isi rumah kepada RM14,500 sebulan serta mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.2 peratus menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor merekodkan pendapatan median isi rumah RM10,726 sebulan, melebihi sasaran RM9,290 sebulan yang ditetapkan di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Beliau berkata bagi mencapai sasaran RS-2, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif termasuk memformalkan ekonomi penjagaan yang melibatkan pekerja tidak formal dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan warga emas melalui pendekatan yang lebih tersusun.
"Ini termasuk meningkatkan peluang dan penglibatan wanita dalam ekonomi, khususnya ibu yang baru melahirkan anak dan ingin kembali ke alam pekerjaan menerusi Career Comeback Programme.
"Kerangka latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri yang diterajui Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) akan diperkasa serta diselaras secara lebih proaktif melalui cadangan penubuhan Pemerbadanan TVET bagi mengelakkan pertindihan tawaran latihan dan memastikan pembangunan sistem TVET berkualiti tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RS-2 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) turut akan diperluas kepada 200,000 pelajar menjelang 2030 bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar daripada pelbagai latar belakang.
Beliau berkata di bawah RS-2, peranan universiti akan diperkasa menerusi penubuhan Selangor University Network Council (SUNC) yang melibatkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, termasuk usaha merealisasikan transformasi Universiti Selangor (UNISEL) sebagai universiti berteraskan industri yang memenuhi keperluan semasa.
"Bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan, PLATS akan diposisikan sebagai program unggulan keusahawanan negeri dengan sasaran 150,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Selangor menerima bimbingan, latihan, kemahiran digital, pengurusan kewangan serta strategi pengembangan perniagaan.
"Bagi industri halal pula, program pembangunan kapasiti dan Hab Halal Selangor 2.0 akan membuka peluang kepada syarikat PKS memperluas pasaran ke peringkat ASEAN, berbanding hanya bergantung kepada pasaran tempatan," katanya.
-- BERNAMA