Unit Tidak Langsung MRCB Jual Tanah 14.83 Hektar Di Cyberjaya Pada RM419.05 Juta
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh tidak langsung Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), iaitu Subang Sentral Sdn Bhd (Subang Sentral) menjual sebidang tanah seluas 14.83 hektar di Cyberjaya, Selangor kepada Digital Cosmos Malaysia Sdn Bhd pada harga RM419.05 juta.
Digital Cosmos Malaysia Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Digital Cosmos (S) Pte Ltd.
Menurut MRCB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Subang Sentral telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Digital Cosmos bagi cadangan penjualan itu.
Jelas MRCB, cadangan penjualan itu adalah selaras dengan strategi kumpulan tersebut untuk memanfaatkan nilai bank tanah bukan teras dan mengoptimumkan kecekapan modalnya.
“Hasil tunai yang diperoleh akan mengukuhkan kedudukan kewangan MRCB bagi melancarkan pembayaran balik pinjaman tertunggak, sekali gus mengurangkan tahap kadar hutang dan menambah baik pengurusan aliran tunai.
“Selain itu, pengagihan semula modal akan menyediakan kumpulan tersebut dengan kebolehubahan kewangan yang lebih kukuh untuk membiayai projek pembangunan berskala besar dan perancangan infrastrukturnya yang lain,” tambahnya.
MRCB menambah tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka dan semua kelulusan/persetujuan berkaitan yang diperlukan, cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2027.
-- BERNAMA