MPOB Bangunkan Penyelesaian Penyejuk Pusat Data Berasaskan Sawit, Jimat Air
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membangunkan Sawit EcoTherm, cecair penyejuk rendaman berasaskan sawit yang berupaya mengurangkan penggunaan air dan tenaga secara ketara di pusat data dan pada masa sama menyokong infrastruktur digital yang lebih mampan.
Pegawai Penyelidik Kanan Unit Kejuruteraan Proses dan Reka Bentuk, Bahagian Teknologi Oleokimia Termaju MPOB Dr Noor Khairin Mohd berkata Sawit EcoTherm mentransformasikan sistem penyejukan pusat data daripada proses memerlukan penggunaan air yang tinggi, kepada penyelesaian penyejukan tanpa air untuk melindungi sumber air di negara ini dan pada masa sama merancakkan pertumbuhan ekonomi digital.
Menurutnya sistem penyejukan berasaskan air yang digunakan secara tradisional di pusat data dijangka menggunakan sebanyak 876 juta liter air sehari di Malaysia yang bersamaan keperluan air hampir empat juta penduduk.
“Teknologi ini menggantikan sistem penyejukan konvensional berasaskan udara dan air. Daripada menggunakan menara penyejuk yang menggunakan banyak air melalui penyejatan, komponen pelayan direndam sepenuhnya dalam cecair dielektrik tidak konduktif yang menyingkirkan haba secara berterusan dalam sistem gelung tertutup.
“Sekiranya diterima pakai secara meluas, teknologi penyejukan rendaman menggunakan Sawit EcoTherm berpotensi mengurangkan permintaan air secara ketara dalam industri pusat data,” katanya kepada Bernama.
Noor Khairin berkata Sawit EcoTherm menggabungkan bahan mentah boleh baharu yang diperoleh di dalam negara dengan operasi tanpa air, kecekapan tenaga dan prestasi penyejukan tinggi, sekali gus menjadikannya penyelesaian yang berpotensi untuk pusat data kecerdasan buatan (AI) dan pusat data berskala besar generasi akan datang.
“Sawit EcoTherm mempunyai kelebihan berikutan menggabungkan penyejukan berprestasi tinggi dengan kemampanan serta kelebihan sumber tempatan, menggunakan cecair penyejuk rendaman bukan konduktif berasaskan minyak sawit yang dihasilkan daripada minyak sawit Malaysia yang diperoleh di dalam negara
“Pelayan AI menghasilkan haba tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding pelayan konvensional.
“Oleh itu, penyejukan rendaman mampu mengendalikan beban haba yang jauh lebih tinggi berbanding penyejukan udara konvensional, sekali gus membolehkan ketumpatan pengkomputeran yang tinggi, meningkatkan kecekapan tenaga serta operasi yang lebih dipercayai untuk infrastruktur AI generasi akan datang,” katanya.
Dari segi kemampanan, beliau berkata Sawit EcoTherm turut menyokong operator pusat data untuk mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan menangani empat keutamaan kemampanan iaitu pemuliharaan air, kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon dan perlindungan alam sekitar.
“Teknologi ini meningkatkan kecekapan tenaga dengan menyejukkan komponen pelayan secara langsung, menghentikan keperluan kipas pelayan dan mengurangkan penggunaan tenaga sekitar 30 hingga 50 peratus, yang menyumbang kepada peningkatan keberkesanan penggunaan tenaga (PUE).
“Teknologi ini juga membantu mengurangkan pelepasan karbon berikutan penggunaan elektrik yang lebih rendah secara langsung mengurangkan pelepasan gas rumah hijau tidak langsung (Skop 2),” katanya.
Menurut Noor Khairin, Sawit EcoTherm juga dihasilkan daripada sehingga 95 peratus bahan berasaskan bio boleh baharu dan berasal daripada sawit, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada cecair penyejuk berasaskan petroleum, yang meningkatkan prestasi alam sekitar secara keseluruhan.
“Ia tidak mengandungi PFAS (bebas daripada ‘bahan kimia kekal’), mudah terbiodegradasikan dan mempunyai ketoksikan ekologi yang rendah, mengurangkan risiko terhadap alam sekitar akibat kebocoran atau pelupusan tidak sengaja berbanding cecair penyejuk sintetik konvensional,” katanya.
PFAS adalah bahan kimia yang sukar terurai.
Menurutnya sokongan kerajaan amat penting bagi mempercepat penerimagunaan teknologi berkenaan yang memerlukan ekosistem yang tepat untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat industri pusat data di Malaysia.
Beliau berkata usaha itu memerlukan kerjasama erat antara MPOB, penyedia teknologi, pemaju pusat data, pembangun pelayan serta pengintegrasi sistem penyejukan rendaman.
“Keutamaannya adalah untuk membina keyakinan dalam kalangan operator pusat data melalui projek perintis, pengesahan teknikal, serta demonstrasi prestasi, kebolehpercayaan dan manfaat kos dalam jangka panjang bagi teknologi itu.
“Dengan menggabungkan sokongan kerajaan, kerjasama industri dan keupayaan kukuh Malaysia dalam oleokimia, Sawit EcoTherm berpotensi meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam teknologi penyejukan rendaman mampan untuk pusat data AI generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA