BERITA TERKINI   Turkiye jadi alternatif ganti misil NSM Norway bagi kapal LCS - Mohamed khaled  | Malaysia, China perlu terus bekerjasama tingkatkan inovasi, kerjasama industri dan pembangunan bakat bagi wujudkan nilai lebih baik kepada perniagaan dan rakyat - PM Anwar  | 

Tekanan Jualan Meluas, Berterusan Asak Bursa Malaysia Ditutup Rendah

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan penurunan untuk sesi keempat berturut-turut, ditutup rendah pada Khamis berikutan tekanan jualan yang berterusan merentasi pelbagai sektor sehingga menjejaskan sentimen pasaran, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.23 mata atau 0.57 peratus kepada 1,585.96 daripada 1,595.19 ketika ditutup pada Rabu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah, turun 3.61 mata kepada 1,591.58 dan mengalami turun naik antara paras terendah intra hari pada 1,583.66 dengan paras tertinggi 1,592.89 sepanjang dagangan.

Di keseluruhan pasaran, ia kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 799 berbanding 318, manakala 476 kaunter tidak berubah, 1,181 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan pula meningkat kepada 3.06 bilion unit bernilai RM2.56 bilion daripada 2.90 bilion unit bernilai RM2.33 bilion semalam.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur dijangka kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat berikutan tekanan jualan yang berterusan ke atas saham-saham perbankan dan saham berwajaran tinggi yang lain, menunjukkan keyakinan pasaran masih rapuh.

Beliau bagaimanapun berpendapat asas-asas ekonomi Malaysia masih kekal berdaya tahan, manakala prospek pendapatan korporat secara keseluruhannya stabil.

“Apa yang lebih penting lagi, pembetulan pasaran baru-baru ini telah menjadikan penilaian bagi saham-saham mewah terpilih lebih menarik, khususnya saham perbankan yang menawarkan unjuran hasil dividen yang memberangsangkan.

“Dari segi teknikal, FBM KLCI menghampiri zon terlebih jual, yang boleh mendorong aktiviti pembelian saham pada harga rendah di paras semasa,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI merosot ke paras terendah sejak awal tahun ini apabila ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat mendorong pelabur mengurangkan pendedahan mereka kepada risiko yang seterusnya dalam pasaran ekuiti Malaysia.

“Sentimen pasaran kekal rapuh di tengah-tengah kebimbangan baharu mengenai penilaian yang terlalu tinggi bagi saham-saham berkaitan kecerdasan buatan (AI), prospek kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang lebih agresif dan rundingan diplomatik antara AS dan Iran yang terhenti, sekali gus mengekalkan risiko geopolitik pada tahap tinggi.

“Kombinasi keadaan kewangan global yang semakin ketat, ketidaktentuan berhubung kenaikan pasaran yang diterajui sektor teknologi dan ketegangan geopolitik yang berterusan telah mengurangkan minat pelabur terhadap aset-aset berisiko,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan indeks itu untuk kembali melepasi paras 1,600 mata dari segi psikologi, mengukuhkan lagi prospek penurunan indeks dalam tempoh terdekat, dengan paras sokongan seterusnya berada pada tahap 1,575 dan 1,550 mata.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM9.91, Tenaga Nasional merosot 16 sen kepada RM12.80, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.53. CIMB meningkat satu sen kepada RM7.09, sementara IHH Healthcare menokok 11 sen kepada RM7.84.

Bagi saham aktif, V.S Industry susut satu sen kepada 28.5 sen, GIIB Holdings merosot lima sen kepada 10.5 sen, YTL Power International turun 39 sen kepada RM4.40, Nexgram berkurangan setengah sen kepada 5.5 sen, manakala Ni Hsin susut dua sen kepada 8.5 sen.

Senarai saham paling untung ialah United Plantations yang meningkat RM1.36 kepada RM31.60, Malaysian Pacific Industries menokok 22 sen kepada RM38.52, Kuala Lumpur Kepong naik 30 sen kepada RM21.38, Concrete Engineering Products menambah 22 sen kepada RM4.60, manakala SD Guthrie melonjak 16 sen kepada RM6.15.

Nestle menerajui senarai saham paling rugi dengan turun 60 sen kepada RM94.94, Fraser & Neave susut 40 sen kepada RM20.14, UWC merosot 31 sen kepada RM6.37, Ranhill Utilities jatuh 30 sen kepada RM2.90, manakala Hong Leong Industries menyusut 40 sen kepada RM16.40.

Bagi pasaran secara keseluruhan, Indeks FBM Emas menyusut 89.69 mata kepada 11,788.09, manakala Indeks FBM Top 100 merosot 80.10 mata kepada 11,619.25.

Indeks FBM Emas Shariah susut 98.18 mata kepada 11,773.27, Indeks FBM ACE merosot 119.53 mata kepada 5,186.97, manakala Indeks FBM Mid 70 turun 169.29 mata kepada 16,948.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 34.42 mata kepada 18,456.79, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 1.42 mata kepada 171.02, manakala Indeks Tenaga merosot 7.19 mata kepada 781.82. Sebaliknya, Indeks Perladangan melonjak 191.34 mata kepada 8,919.27.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.43 bilion unit bernilai RM2.28 bilion daripada 1.38 bilion unit bernilai RM2.01 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 836.38 juta unit bernilai RM98.04 juta daripada 773.09 juta unit bernilai RM97.32 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 788.18 juta unit bernilai RM174.71 juta daripada 745.34 juta unit bernilai RM227.60 juta pada Rabu.

Sementara itu, kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang 273.18 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk perindustrian dan perkhidmatan (300.40 juta), pembinaan (130.24 juta), teknologi (215.28 juta), perkhidmatan kewangan (69.09 juta), hartanah (73.32 juta), perladangan (18.46 juta), amanah pelaburan hartanah (11.45 juta), dana tertutup (306,100), tenaga (70.77 juta), penjagaan kesihatan (107.75 juta), telekomunikasi dan media (37.07 juta), pengangkutan dan logistik (37.60 juta), utiliti (92.45 juta) serta amanah perniagaan (24,300).

-- BERNAMA