BERITA TERKINI   Turkiye jadi alternatif ganti misil NSM Norway bagi kapal LCS - Mohamed khaled  | Malaysia, China perlu terus bekerjasama tingkatkan inovasi, kerjasama industri dan pembangunan bakat bagi wujudkan nilai lebih baik kepada perniagaan dan rakyat - PM Anwar  | Naib Presiden Indonesia Gibran telah menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) dan Presiden Prabowo. - Speaker MPR Ahmad Muzani | 

Kerjasama Ekonomi Lebih Erat Dengan China Pacu Pelaburan, Peluang Untuk PKS - Sim

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia berhasrat mengeratkan kerjasama ekonomi dengan China melalui pengukuhan kerjasama antara perniagaan kedua-dua negara, khususnya bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menyertai rantaian bekalan dan meraih manfaat daripada peluang pelaburan yang lebih luas.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata Malaysia mengalu-alukan pelaburan syarikat China di negara ini selain menggalakkan mereka menjalin kerjasama dengan PKS Malaysia bagi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk perusahaan tempatan.

“Apa yang lebih penting, kami berharap syarikat China akan bekerjasama dengan PKS Malaysia bagi membolehkan perniagaan tempatan menyertai rantaian bekalan dan mendapat akses kepada lebih banyak peluang perniagaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Saya yakin kerjasama antara perniagaan Malaysia dan China mampu mewujudkan peluang komersial yang lebih besar untuk kedua-dua negara,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Persidangan Usahawan Malaysia-China Ke-16 anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) di sini hari ini.

Sim turut mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis itu.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan turut memperkukuh ekosistem PKS domestik melalui Belanjawan 2027 yang memperkenalkan tiga langkah bersejarah, termasuk peruntukan sebanyak RM67.9 bilion untuk PKS, pengurangan kadar cukai sehingga dua mata peratusan dan pengecualian daripada kenaikan gaji minimum pada tahun depan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya langkah itu bertujuan meringankan cabaran yang dihadapi PKS susulan peningkatan kos operasi, persaingan pasaran yang sengit serta kekangan pembiayaan.

Beliau berkata kerajaan juga mengakui kepentingan memastikan perniagaan tempatan mendapat sokongan secukupnya untuk berkembang, meningkatkan daya saing dan mengambil bahagian dalam peluang ekonomi yang lebih luas.

Menurutnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM11 bilion kepada lebih 300,000 usahawan di seluruh negara dalam tempoh 10 bulan lepas, termasuk dana khas sebanyak RM230 juta untuk perniagaan masyarakat Cina Malaysia.

Pada masa sama, Sim berkata hubungan dua hala kedua-dua negara telah mencapai tahap tertinggi dalam sejarah, dengan Malaysia dan China kini memasuki fasa yang disifatkan sebagai “50 Tahun Keemasan” dalam hubungan diplomatik.

Beliau berkata pendekatan saling mempercayai yang dibina antara kedua-dua negara bukan sahaja memerlukan kerjasama antara kerajaan, malah turut bergantung kepada pertukaran antara rakyat serta libat urus perniagaan yang lebih kukuh.

Beliau turut memuji usaha MCCC selama 36 tahun dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara usahawan Malaysia dan China.

Persidangan yang kini memasuki edisi ke-16 itu menyediakan platform kepada perniagaan kedua-dua negara untuk menjalinkan hubungan, bertukar-tukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama

Sim berkata persidangan tahun ini yang bertemakan “A Millennium of Trade, Built on Virtue,” menekankan kepentingan kredibiliti, kepercayaan dan manfaat bersama dalam membina hubungan perniagaan yang mampan.

Beliau berkata tenaga kerja Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan menguasai pelbagai bahasa turut memberikan kelebihan kepada syarikat China yang berhasrat mengembangkan kehadiran mereka di Asia Tenggara dan pasaran antarabangsa yang lain.

Keupayaan Malaysia menghubungkan perniagaan dengan pasaran di Asia Tenggara, China, India dan Asia Barat selain penguasaan bahasa Inggeris yang meluas, menyediakan platform kepada syarikat untuk menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas.

-- BERNAMA