BERITA TERKINI   Turkiye jadi alternatif ganti misil NSM Norway bagi kapal LCS - Mohamed khaled  | Malaysia, China perlu terus bekerjasama tingkatkan inovasi, kerjasama industri dan pembangunan bakat bagi wujudkan nilai lebih baik kepada perniagaan dan rakyat - PM Anwar  | Naib Presiden Indonesia Gibran telah menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) dan Presiden Prabowo. - Speaker MPR Ahmad Muzani | MITI lancar aplikasi mudah alih MySaham MITI bagi mudahkan pelabur bumiputera yang layak mohon Saham Khas Bumiputera, semak keputusan permohonan - Johari | 

Pemegang Saham PBA Holdings Lulus Pembelian Air Terawat Dari Perak

GEORGE TOWN, 12 Nov (Bernama) – Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBA Holdings Bhd (PBAHB) hari ini meluluskan cadangan pembelian bekalan air terawat secara pukal dari Perak di bawah Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS), yang dijadual bermula pada 31 Mac 2032.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata cadangan itu mendapat sokongan 97.93 peratus undi oleh pemegang saham, sekali gus memenuhi satu daripada dua syarat terdahulu dalam perjanjian pembelian air pukal antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dengan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd.

“Hari ini kita sudah memperoleh kelulusan itu dan kita akan memaklumkan kepada Bursa Malaysia serta syarikat di Perak untuk mengambil langkah-langkah bagi memulakan projek berkaitan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Mengikut perjanjian, tarikh penerimaan air terawat ialah pada 31 Mac 2032, iaitu tarikh projek ini perlu disiapkan dan bekalan air terawat perlu disalurkan ke sempadan Perak-Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas EGM PBAHB di sini hari ini.

Chow yang juga Pengerusi PBAHB berkata selepas bekalan air diterima di sempadan kedua-dua negeri, PBAPP bertanggungjawab mengagihkannya kepada pengguna di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan perjanjian itu masih tertakluk kepada satu lagi syarat terdahulu, iaitu pihak Perak perlu memperoleh kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) terhadap struktur tarif yang dipersetujui, termasuk caj kapasiti dan caj bekalan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Mereka mempunyai tempoh sehingga 2035 untuk mendapatkan kelulusan SPAN terhadap tarif itu. Jika gagal mendapat kelulusan tersebut, kita boleh memilih untuk tidak meneruskan perjanjian kerana tarif itu tidak diluluskan oleh SPAN,” katanya.

Ditanya sama ada pembelian bekalan air terawat dari Perak akan membolehkan tarif air di Pulau Pinang dikurangkan, Chow berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang jaminan kerana struktur caj berkaitan telah ditetapkan dalam perjanjian.

Mengulas kebimbangan berhubung risiko kewangan projek itu, Chow berkata lima anggota lembaga pengarah PBAHB sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa aspek perjanjian, namun perkara berkenaan telah dibincangkan di peringkat lembaga sepanjang rundingan yang berlangsung kira-kira setahun, selain penjelasan turut diberikan terhadap isu yang dibangkitkan wakil pemegang saham minoriti pada EGM hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata syarikat itu tidak menanggung perbelanjaan modal (CAPEX) bagi projek berkenaan kerana semua kos pembangunan infrastruktur, termasuk pembinaan loji rawatan air berkapasiti 500 juta liter sehari (JLH), serta perbelanjaan operasi (OPEX) berkaitan pengeluaran dan penghantaran air terawat ditanggung oleh pihak Perak.

Beliau berkata PBAPP juga tidak perlu membuat sebarang bayaran kepada pihak Perak sekiranya syarat kelulusan tarif oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak dipenuhi dan perjanjian tidak dapat diteruskan.

Pathmanathan berkata projek itu merupakan penyelesaian praktikal bagi memenuhi keperluan bekalan air jangka panjang Pulau Pinang memandangkan sumber air baharu dalam negeri semakin terhad, selain kos pembangunan loji penyahgaraman air laut yang lebih tinggi.

Sebelum ini, PBAPP menandatangani perjanjian pembelian air terawat secara pukal bersyarat dengan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd pada 15 Julai lepas di bawah Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) untuk memenuhi keperluan bekalan air jangka panjang Pulau Pinang.

Perjanjian itu melibatkan pembelian antara 300 hingga 500 JLH bagi tempoh 40 tahun dari 2032 hingga 2072, dengan anggaran keseluruhan caj pembelian berjumlah RM24.6 bilion atau purata RM615 juta setahun.

Anggaran harga pembelian air terawat secara pukal untuk kuantiti 300 JLH ialah RM3.62 bagi setiap 1,000 liter, manakala pihak Perak bertanggungjawab terhadap perbelanjaana modal dan operasi dalam mendapatkan sumber air mentah, mengepam, merawat serta menyalurkan bekalan air terawat berkenaan.

– BERNAMA