Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur Berikutan Peningkatan Bekalan
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Khamis susulan peningkatan bekalan getah bermusim di Thailand serta permintaan tayar yang berkurangan di China telah menjejaskan sentimen pasaran, kata seorang peniaga.
Beliau berkata Thailand kini berada dalam kemuncak musim penuaian berikutan musim hujan yang membawa kepada ketersediaan bekalan getah lebih tinggi.
“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dapat diimbangi oleh nilai ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta kebimbangan mengenai jangkaan gangguan bekalan akibat fenomena El Nino.
“Peningkatan jualan kenderaan elektrik di peringkat global dan aktiviti perdagangan AS yang lebih kukuh turut dilihat menyokong permintaan terhadap getah asli,” katanya kepada Bernama.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 naik 1.0 sen kepada 1,005.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 1.0 sen kepada 777 sen sekilogram.
-- BERNAMA