BERITA TERKINI   Naib Presiden Indonesia Gibran telah menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) dan Presiden Prabowo. - Speaker MPR Ahmad Muzani | MITI lancar aplikasi mudah alih MySaham MITI bagi mudahkan pelabur bumiputera yang layak mohon Saham Khas Bumiputera, semak keputusan permohonan - Johari | Tragedi kepala air: Satu lagi mayat ditemukan di sekitar kawasan Empangan Sungai Selangor pada 10.15 pagi tadi - Bomba | Eksport Malaysia ke Taiwan melonjak 88.0 peratus kepada RM116.58 bilion, import dari Taiwan meningkat 24.2 peratus kepada RM137.63 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 - PM Anwar | Perdagangan dua hala Malaysia-Taiwan berkembang 47.1 peratus tahun ke tahun kepada RM254.21 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 - PM Anwar | 

PROTUNe 2026 Catat Jualan RM3.12 Juta, Berjaya Cungkil Bakat Keusahawanan Pelajar

SHAH ALAM, 12 Nov (Bernama) -- Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2026 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya mencatatkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM3.12 juta tahun ini, melebihi sasaran jualan RM2 juta seperti yang ditetapkan.

Kejayaan itu hasil penglibatan aktif 1,175 pelajar daripada 47 sekolah menengah di Selangor dalam aktiviti keusahawanan sepanjang tujuh bulan pelaksanaan program yang bermula dari 3 Mac hingga 30 September lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata pencapaian itu turut merekodkan peningkatan berbanding RM2.04 juta pada tahun lepas sekali gus menunjukkan potensi pelajar sekolah dalam bidang keusahawanan apabila diberi peluang mengendalikan perniagaan secara langsung.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pencapaian jualan yang direkodkan peserta PROTUNe ini menyediakan kemampuan pelajar sekolah dalam mengaplikasikan pengetahuan sebenar keusahawanan dalam pengurusan perniagaan.

“Ia bukan sekadar diukur mengikut jumlah jualan, tetapi juga berdasarkan pengalaman, kemahiran dan keyakinan yang dibina sepanjang peserta mengendalikan syarikat dan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvensyen PROTUNe Negeri Selangor 2026 di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

 Turut hadir pada majlis ialah Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS Yuzawati Yusof.

Program hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menyaksikan penubuhan 47 syarikat dengan setiap syarikat dianggotai 25 pemegang saham termasuk lima ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab dalam pengurusan pentadbiran, kewangan, pemasaran dan pengeluaran.

Mahmud berkata lebih membanggakan apabila peserta bukan sahaja memasarkan produk, malah pembangunan produk turut diberi penekanan supaya mempunyai nilai komersial dan sedia dipasarkan kepada pengguna.

“Peserta tidak hanya belajar teori semata-mata, mereka juga perlu meneroka idea baharu dan menterjemahkannya kepada peluang perniagaan.

“PKNS melalui PROTUNe terus menjadi platform dalam membuka peluang kepada generasi muda mengembangkan potensi diri, menghasilkan idea perniagaan yang memberi nilai komersial dan membina asas kukuh sebagai usahawan masa depan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan anugerah bagi meraikan kejayaan serta mengiktiraf kecemerlangan pelajar dan sekolah yang menyertai PROTUNe 2026.

Sebanyak 11 kategori anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Syarikat Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Anugerah Guru Pembimbing Terbaik, Anugerah Produk Terbaik, Anugerah Peruncitan Terbaik, Anugerah Perkhidmatan Terbaik, Anugerah Laporan Kewangan Terbaik, Anugerah Harapan, Anugerah E-PROTUNe Terbaik dan Anugerah Sekolah Terbaik.

Dalam pada itu, Mahmud merakamkan penghargaan berhubung komitmen semua peserta sepanjang program berkenaan serta berharap pengalaman itu menjadi sumber pembelajaran dan motivasi untuk terus memperbaiki diri, mengembangkan potensi dan melangkah lebih jauh dalam bidang keusahawanan.

Sementara itu, Guru Pembimbing PROTUNe Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang Azrina Sazali berkata disiplin dan komitmen tinggi guru serta pelajar menjadi resipi kejayaan sekolah itu menerima Anugerah Sekolah Terbaik buat kali kedua.

“Pencapaian ini hasil komitmen berterusan pasukan guru pembimbing dan Ahli Pengurusan Syarikat (APS) yang sanggup meluangkan masa serta tenaga bagi memastikan setiap tugasan diselesaikan mengikut perancangan.

“Antara produk yang diketengahkan ialah beg dikenali sebagai 'Deko Bag' yang dihasilkan menerusi teknik hiasan menggunakan tisu bercorak atau deko patch,” katanya.

Menerusi PROTUNe 2026, peserta dengan bimbingan guru mengikuti latihan keusahawanan secara teori dan praktikal merangkumi pengurusan operasi, pembangunan produk, perancangan pemasaran serta aktiviti jualan di sekolah dan Karnival Usahawan PKNS (KUP).

Bidang perniagaan yang diceburi termasuk pembangunan produk, peruncitan makanan dan minuman, pakaian, kraftangan serta perkhidmatan fotografi, percetakan, pengurusan acara dan penghantaran barangan.

Sejak 2009, PROTUNe merekodkan jualan terkumpul sebanyak RM34.7 juta dengan penyertaan 33,125 pelajar dan 2,630 guru pembimbing selain penubuhan 1,249 syarikat, sekali gus membuktikan komitmen PKNS dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan Selangor melalui pembangunan modal insan berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.

-- BERNAMA