BERITA TERKINI   Naib Presiden Indonesia Gibran telah menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) dan Presiden Prabowo. - Speaker MPR Ahmad Muzani | MITI lancar aplikasi mudah alih MySaham MITI bagi mudahkan pelabur bumiputera yang layak mohon Saham Khas Bumiputera, semak keputusan permohonan - Johari | Tragedi kepala air: Satu lagi mayat ditemukan di sekitar kawasan Empangan Sungai Selangor pada 10.15 pagi tadi - Bomba | Eksport Malaysia ke Taiwan melonjak 88.0 peratus kepada RM116.58 bilion, import dari Taiwan meningkat 24.2 peratus kepada RM137.63 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 - PM Anwar | Perdagangan dua hala Malaysia-Taiwan berkembang 47.1 peratus tahun ke tahun kepada RM254.21 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 - PM Anwar | 

ECRL Lebih Selesa Dan Pantas, Bakal Ubah Pengalaman Perjalanan Ke Pantai Timur

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KOTA BHARU, 12 Nov (Bernama)-- Bagi ribuan anak kelahiran Pantai Timur yang sedang mencari rezeki di Lembah Klang, kepulangan ke kampung halaman amat sinonim dengan tempoh perjalanan yang panjang, selain kesesakan luar biasa yang dianggap satu ‘acara tahunan’, terutamanya menjelang musim perayaan dan cuti panjang. 

Bagaimanapun, situasi itu bakal berubah tidak lama lagi apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijadualkan memulakan operasinya pada 12 Disember, sekali gus memendekkan perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu kepada kira-kira empat jam, sekali gus memberi pilihan kepada mereka yang ingin pulang ke kampung dengan lebih cepat dan selesa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Peluang yang diberikan kepada warga media untuk menaiki ECRL dari Terminal Bersepadu Gombak ke Kota Bharu berjaya memberikan gambaran awal mengenai keupayaan perkhidmatan rel itu, kerana ia bukan sahaja memendekkan tempoh perjalanan, sebaliknya turut menyediakan kemudahan yang sesuai dengan keperluan penumpang sepanjang perjalanan tersebut.

Jika sebelum ini perjalanan ke Kota Bharu dengan menaiki kenderaan persendirian boleh mengambil masa antara tujuh hingga lapan jam, tetapi ECRL menawarkan penjimatan masa yang memang ketara, selain membolehkan penumpang berehat tanpa perlu memikirkan keadaan trafik, keletihan memandu atau mencari tempat persinggahan.

Berkongsi pengalaman ketika melangkah masuk ke dalam tren, aspek keselesaan menjadi antara perkara yang segera menarik perhatian, khususnya ruang kaki yang luas dan susun atur tempat duduk yang mewujudkan ruang yang lebih selesa kepada penumpang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi kelas ekonomi, tempat duduk disusun dalam konfigurasi 2-3, manakala kelas perniagaan menawarkan susunan 2-2, sekali gus memberikan ruang dalaman yang lebih luas.

Selain itu, kemudahan pengecasan menerusi sambungan USB, USB-C dan soket tiga pin yang tersedia pada tempat duduk juga membolehkan penumpang terus menggunakan peranti elektronik tanpa perlu bimbang kehabisan bateri, selain kemudahan Wifi juga disediakan. 

Mengenai kelancaran perjalanan, pergerakan tren yang stabil berjaya memberikan pengalaman berbeza kerana gegaran yang dirasai adalah minimum meskipun tren bergerak pada kelajuan antara 150 hingga 160 kilometer sejam (km/j), iaitu berdasarkan paparan kelajuan pada skrin.

Penulis mengambil kesempatan untuk menguji tahap kestabilan itu dengan meletakkan sekeping syiling di atas permukaan meja ketika tren sedang bergerak dan hasilnya mendapati syiling tersebut kekal tegak selama beberapa saat.

Selain itu, skrin digital turut memaparkan pelbagai maklumat termasuk kelajuan tren, suhu, destinasi dan arahan kepada penumpang sepanjang perjalanan, sekali gus memudahkan penumpang untuk memantau perjalanan dengan lebih mudah.

Pada masa sama, aspek keselamatan juga diberi perhatian iaitu menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), selain kehadiran kru dalam tren yang sentiasa menjalankan pemeriksaan dan sedia memberikan bantuan kepada penumpang bagi memastikan kelancaran perjalanan. 

Salah seorang kru, H. Thinagaran berkata pengalaman selama 15 tahun sebagai pramugara Malaysia Airlines akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan penumpang ECRL menikmati tahap keselesaan dan kemudahan perkhidmatan yang sewajarnya.

Katanya, kru ECRL telah menjalani program latihan selama dua bulan setengah, termasuk sebulan di China, bagi mempersiapkan mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

“Kita akan memastikan aspek keselamatan dan keselesaan penumpang sentiasa menjadi keutamaan sepanjang perjalanan,” katanya kepada Bernama.  

Satu lagi kemudahan yang menarik perhatian ialah ruang solat yang disediakan khusus untuk penumpang beragama Islam, yang turut dilengkapi dengan kemudahan mengambil wuduk, dengan reka bentuk singki yang lebih luas di bahagian bawah bagi memudahkan penumpang membasuh kaki.

Selaras dengan keperluan bagi perjalanan jauh, kafe turut disediakan bagi kemudahan penumpang untuk ‘mengisi perut’ dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman serta menghabiskan masa sebelum tiba ke destinasi masing-masing. 

Sementara menikmati hidangan dan kemudahan lain yang disediakan, penumpang juga berpeluang menyaksikan keindahan landskap sepanjang perjalanan, termasuk penempatan penduduk dan kehijauan alam sekitar di Pantai Timur, sekali gus memberikan pengalaman berbeza berbanding perjalanan melalui lebuh raya.

Dalam pada itu, untuk makluman orang ramai, tempoh perjalanan dari Gombak ke KotaSAS, Kuantan mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit, manakala perjalanan ke Kuala Terengganu sekitar tiga jam dan Kota Bharu pula kira-kira empat jam.

Secara keseluruhannya, pengalaman menaiki ECRL memperlihatkan bahawa kelebihan perkhidmatan rel itu bukan hanya terletak pada kelajuan, tetapi turut merangkumi keselesaan, kemudahan dan pengalaman perjalanan yang lebih santai.

Bagi penulis yang berasal dari negeri di Pantai Timur yang sekian lama menjadikan perjalanan pulang ke kampung sebagai satu rutin yang memerlukan perancangan masa dan tenaga, kehadiran ECRL mampu mengubah pengalaman tersebut, sekali gus memperkukuh hubungan sosial serta membuka ruang baharu kepada mobiliti dan kegiatan ekonomi di Pantai Timur. 

-- BERNAMA