Hubungan Ekonomi Malaysia-Taiwan Kekal Kukuh, Pelaburan Tidak Terjejas - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Hubungan ekonomi Malaysia-Taiwan kekal kukuh dan tidak terjejas, dengan Malaysia terus menerima pelaburan dari Taiwan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Taiwan merupakan rakan dagang yang penting dan kerajaan mahu memastikan hubungan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan kedua-dua pihak kekal baik.
“Kita masih terus menerima pelabur dan hingga ke tahun ini import dan eksport melonjak sangat tinggi,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Anwar menegaskan bahawa tiada rundingan (perdagangan) antara Malaysia dan Taiwan, bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa hubungan ekonomi kedua-dua pihak dilaksanakan menerusi jawatankuasa kerjasama ekonomi.
Terdahulu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) bertanya kepada Perdana Menteri mengenai laporan Taiwan menggantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataannya yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian dari China, serta implikasinya terhadap perdagangan dan pelaburan dua hala.
Anwar berkata kerajaan telah meminta supaya mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi Malaysia-Taiwan (MTECC) yang ditangguhkan, diteruskan.
Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan MTECC pada 2016.
-- BERNAMA