GST: Rakyat Tanggung Beban Cukai Sepenuhnya - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Mereka yang memperjuangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebenarnya menyarankan supaya beban cukai dipindahkan daripada sektor perniagaan dan pengeksport kepada rakyat secara menyeluruh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan MADANI memilih untuk mengekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai asas percukaian negara kerana GST merupakan cukai menyeluruh yang turut melibatkan golongan berpendapatan rendah berbanding SST yang lebih tertumpu kepada sektor perniagaan.
“Prinsipnya, SST cukai kepada peniaga, walaupun sebahagian kecil ini memang turun kepada rakyat, betul. Tetapi GST itu menyeluruh.
“Jadi, saya tidak faham mengapa pejuang-pejuang rakyat ini mahu mengenakan cukai kepada rakyat secara menyeluruh,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata sebanyak 2,000 jenis barangan dan perkhidmatan dikecualikan cukai di bawah SST berbanding kurang daripada 750 jenis barangan dan perkhidmatan di bawah GST.
Katanya hasil kutipan SST ketika ini bersamaan 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar yang sama seperti hasil kutipan GST pada 2017, sekali gus menolak dakwaan bahawa pelaksanaan semula GST semestinya akan meningkatkan hasil kerajaan.
Beliau berkata SST akan kekal sebagai asas percukaian negara, namun kerajaan tidak menolak sebarang pindaan sekiranya terdapat elemen cukai berganda yang perlu diperbetulkan bagi menambah baik sistem sedia ada.
“Dalam kes khusus yang mempunyai elemen cukai berganda, kita boleh membuat penyesuaian. Saya bukan dogmatik dalam ekonomi.
“Sistemnya masih SST tetapi sedikit penyesuaian untuk memperbaikinya. Mengapa tidak?” kata beliau.
Beliau berkata pelaksanaan GST hanya wajar dikaji semula apabila pendapatan minimum rakyat meningkat kepada sekurang-kurangnya RM4,000 supaya cukai bersifat menyeluruh itu tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.
“Kerajaan berpandangan pada masa ini, isu kos sara hidup masih membebani rakyat dan selagi pendapatan rakyat belum berada pada tahap munasabah, adalah tidak sesuai untuk mengembalikan GST,” kata beliau.
-- BERNAMA