Perniagaan Perlu Tingkat Produktiviti Susulan Kenaikan Gaji Minimum
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kenaikan gaji minimum terbaharu dijangka meningkatkan pendapatan pekerja, namun pada masa sama perlu mendorong perniagaan mempergiat usaha meningkatkan produktiviti bagi memastikan kos upah yang lebih tinggi dapat ditampung tanpa menambah tekanan terhadap harga barangan dan perkhidmatan.
Ketua Ahli Ekonomi CGS International Securities Malaysia Nazmi Idrus berkata pertumbuhan gaji membantu pekerja mendapatkan semula sebahagian kuasa beli yang terhakis susulan tempoh inflasi tinggi selepas pandemik COVID-19.
Beliau berkata kadar pertumbuhan gaji secara beransur-ansur telah mengatasi inflasi, namun kenaikan harga baharu berpotensi menghakis semula peningkatan kuasa beli isi rumah.
“Ketika inflasi tinggi selepas pandemik, kita menyaksikan kuasa beli merosot. Keadaan itu beransur pulih apabila kenaikan gaji kembali mengatasi inflasi, namun inflasi yang meningkat berpotensi menghakis semula peningkatan tersebut,” katanya kepada Bernama.
Mengulas Dasar Gaji Progresif kerajaan, Nazmi menyifatkannya sebagai inisiatif yang baik, namun pelaksanaannya masih terhad dengan hanya kira-kira 50,000 pekerja terlibat setakat ini.
Beliau berkata program itu wajar diperluas supaya lebih ramai pekerja mendapat manfaat, selain memastikan peningkatan gaji disokong oleh penambahbaikan produktiviti.
Menurut Laporan Tahunan 2025 Bank Negara Malaysia (BNM), meskipun inflasi sederhana, kebanyakan isi rumah masih berdepan kos sara hidup yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan gaji yang perlahan.
Laporan itu menyatakan bahawa apabila perbelanjaan meningkat lebih pantas berbanding pendapatan, kenaikan harga yang kecil sekalipun boleh memberi kesan ketara kepada isi rumah, termasuk mempengaruhi persepsi mereka terhadap kemampuan membeli barangan dan keadaan ekonomi secara keseluruhan.
BNM berkata langkah berkaitan pendapatan yang dilaksanakan sejak kebelakangan ini, termasuk semakan kadar gaji minimum, telah membantu meringankan beban lebih lima juta pekerja di Malaysia.
Bagaimanapun, reformasi struktur yang lebih menyeluruh diperlukan dalam jangka panjang bagi menangani punca utama pertumbuhan gaji yang lembap di negara ini.
Sementara itu, Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng berkata pengecualian yang diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada kenaikan gaji minimum terbaharu memberi sedikit ruang kepada perniagaan berskala kecil untuk mengurus kos, khususnya yang beroperasi di bandar kecil yang kos sara hidupnya lebih rendah.
Beliau berkata kesan langsung kenaikan itu terhadap PMKS di pusat bandar utama seperti Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang dijangka terhad memandangkan banyak perniagaan di kawasan berkenaan sudah membayar gaji melebihi RM2,000.
“Pengecualian itu bermakna PMKS di bandar kecil yang mempunyai kos sara hidup lebih rendah tidak dipaksa menaikkan gaji ketika mereka berdepan tekanan margin keuntungan yang ketara.
“Pada masa sama, langkah itu memberi ruang dan menggalakkan PMKS di pusat bandar utama untuk menaikkan gaji mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa PMKS memanfaatkan ruang yang diberikan untuk mempergiat automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.
“Tanpa mengira pengecualian yang diberikan kali ini, kita perlu sedar bahawa gaji akan terus meningkat, sama ada didorong oleh peraturan atau kuasa pasaran. Oleh itu, peningkatan produktiviti merupakan satu-satunya jalan ke hadapan,” katanya.
Senada dengan pandangan itu, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai berkata keperluan meningkatkan produktiviti bukan hanya melibatkan PMKS, malah syarikat besar juga perlu mencari kaedah untuk mengurus peningkatan kos sambil mengekalkan daya saing di dalam dan luar negara.
Beliau berkata syarikat perlu mempertimbangkan penggunaan automasi dan kecerdasan buatan (AI), selain meningkatkan kualiti produk serta kecekapan operasi bagi mengurangkan kos dan mengekalkan daya saing.
“Syarikat juga perlu menyemak semula struktur gaji bagi pekerja pada peringkat jawatan lain, sekali gus meningkatkan kos keseluruhan,” katanya.
Dalam pengumuman Belanjawan 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menaikkan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan daripada RM1,700, berkuat kuasa Jun 2027, dengan pengecualian diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang mempunyai hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta.
Beliau turut berkata kerajaan akan memperbaharui kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerja separa mahir dan graduan.
Anwar juga menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan penanda aras gaji kehidupan wajar kepada RM3,400 sebulan daripada RM3,100, yang dijangka memberi manfaat kepada 230,000 pekerja.
-- BERNAMA